ROSNAH (kanan)   memperkenalkan pakej Umrah Eko-Mampu yang menawarkan pakej perjalanan umrah bermula RM5,990 seorang.
ROSNAH (kanan) memperkenalkan pakej Umrah Eko-Mampu yang menawarkan pakej perjalanan umrah bermula RM5,990 seorang.

JUARA Travel & Tours Sdn Bhd, syarikat yang menerima pengiktirafan daripada Lembaga Tabung Haji (TH) sebagai syarikat pengelola jemaah haji swasta, menyasarkan untuk menerbangkan 20,000 jemaah umrah tahun ini.

Pengarah Urusannya, Rosnah Wagino berkata, sejak 25 tahun beroperasi sebagai agensi pelancongan berpengalaman dalam menguruskan jemaah umrah, syarikatnya sudah berjaya menerbangkan lebih 90,000 jemaah.

Katanya, setakat ini, syarikat memiliki 27 cawangan di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak, kecuali Perlis.

"Kami tidak hanya memfokuskan kepada haji dan umrah, sebaliknya syarikat turut menawarkan pakej pelancongan lain dan aktif menjalankan urusan dengan kerajaan serta berkolaborasi dengan syarikat pelancongan lain.

"Selain itu, kami komited memenuhi permintaan mereka yang ingin menunaikan umrah pada harga mampu milik apabila semakin ramai jemaah yang menjalani ibadah umrah secara DIY (buat sendiri) atas sebab untuk berjimat.

"Justeru, syarikat memperkenalkan pakej Umrah Eko-Mampu yang menawarkan pakej perjalanan umrah bermula RM5,990 seorang.

"Pakej ini istimewa kerana ia mementingkan kebajikan dan kemudahan jemaah sewaktu menunaikan umrah dengan bimbingan mutawif berpengalaman, meskipun pada harga seakan menjalani umrah secara DIY," katanya.

Menurutnya, walaupun ramai yang melaksanakan umrah secara DIY namun bagi mereka yang kurang berpengalaman, kadangkala melaksanakan umrah secara DIY boleh menjadi lebih mahal berbanding pakej yang ditawarkan syarikat umrah.

Rosnah berkata, terdapat juga kes di mana jemaah ditipu dan tidak mendapat hotel seperti dijanjikan.

"Sebenarnya umrah ini tidak sama seperti melancong kerana ia ibadah, ramai jemaah yang sebenarnya memerlukan ilmu dan bimbingan daripada mutawif.

"Sebagai syarikat berpengalaman menguruskan jemaah umrah selama 25 tahun, kami berasa bertanggungjawab untuk menyediakan perkhidmatan umrah mampu milik, sesuai bagi golongan yang berdepan kekangan kewangan, namun teringin menjejak kaki ke Tanah Suci," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 7:10 AM