BANK Negara Malaysia bersedia untuk menggunakan instrumen yang ada bagi memastikan pasaran kewangan Malaysia kekal teratur dan terus berfungsi secara cekap dalam keadaan ketegangan geopolitik yang berterusan. FOTO Arkib NSTP
BANK Negara Malaysia bersedia untuk menggunakan instrumen yang ada bagi memastikan pasaran kewangan Malaysia kekal teratur dan terus berfungsi secara cekap dalam keadaan ketegangan geopolitik yang berterusan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) pada Isnin menyatakan pihaknya bersedia untuk menggunakan instrumen yang ada bagi memastikan pasaran kewangan Malaysia kekal teratur dan terus berfungsi secara cekap dalam keadaan ketegangan geopolitik yang berterusan.

"BNM terus memantau keadaan pasaran kewangan dengan teliti dan akan menguruskan sebarang risiko yang berpunca daripada volatiliti pasaran kewangan," jelasnya dalam kenyataan susulan pernyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai konflik Timur Tengah pada Ahad.

Bank pusat memaklumkan bahawa pihaknya telah mengadakan sesi libat urus dengan peserta pasaran kewangan, termasuk ketua operasi perbendaharaan, yang bersetuju bahawa sebarang ketidakpastian akan berkurang dan menjadi stabil apabila keadaan ketegangan geopolitik semakin reda.

Operasi pasaran BNM akan memastikan mudah tunai yang memadai serta pasaran pertukaran asing berfungsi secara teratur, tegasnya.

"Hal ini disokong oleh inisiatif berterusan yang sedang dilaksanakan bersama syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), syarikat korporat dan pengeksport untuk terus membawa masuk aliran dan mudah tunai ke dalam pasaran pertukaran asing," tambah bank pusat.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan kini sedang memantau rapat perkembangan konflik di Timur Tengah dan juga keadaan pasaran kewangan, termasuk kesan yang berpotensi terhadap Malaysia.

"Kerajaan akan bertindak dengan bijak untuk memperkukuh kestabilan ekonomi dan kewangan negara. Kerajaan juga mengambil kira sebarang faktor yang mungkin memberi kesan kepada rakyat Malaysia," kata Anwar yang juga Menteri Kewangan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2024 @ 12:42 PM