GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Ketegangan yang semakin memuncak di Timur Tengah, ditambah dengan insiden rampasan kapal kontena berkaitan Israel oleh Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) boleh mengakibatkan gangguan rantaian bekalan serta premium insurans yang lebih tinggi, kata persatuan perkapalan.

Pengerusi Persatuan Perkapalan Malaysia Ooi Lean Hin berkata ketegangan geopolitik semasa di Timur Tengah telah meningkatkan risiko pelayaran dalam ekosistem perkapalan global, yang kini diperluaskan ke Teluk selain dari Laut Merah.

"Keselamatan pelayaran agak berisiko tinggi di rantau ini. Premium insurans risiko perang akan melonjak dan gangguan rantaian bekalan akan bertambah sehingga membawa kepada peningkatan kos penghantaran untuk rantau ini," katanya kepada Bernama.

Beliau ketika ditanya mengenai impak terhadap sektor perkapalan berkata, situasi semasa telah memberi kesan kerana banyak syarikat perkapalan telah mengarahkan sebahagian besar kapal mereka untuk melalui Tanjung Harapan dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

"Lencongan ini menyebabkan kapal mengambil masa yang lebih lama untuk sampai ke Malaysia. Kos pengangkutan dan insurans juga telah naik baru-baru ini," jelasnya.

Presiden Persatuan Penghantar Barang dan Logistik Selangor Datuk Tony Chia Han Teun menambah syarikat perkapalan terpaksa mengelak daripada menggunakan laluan Laut Merah serta Terusan Suez kerana bimbang akan menjadi sasaran dan pihak industri pula sedang menunggu tindakan seterusnya syarikat perkapalan.

"Sejak sebulan kebelakangan ini, banyak syarikat perkapalan telah mengarahkan kapal-kapal mereka ke Tanjung Harapan sehingga menyebabkan perjalanan ke Malaysia menjadi lebih panjang," katanya.

Sambil mengulangi sentimen itu, Naib Presiden Persekutuan Pengangkutan Kargo Malaysia Alvin Chua Seng Wah berkata keadaan semasa telah memberi kesan kepada Malaysia kerana kapasiti penghantaran ke Eropah akan berkurangan.

"Jumlah kapal yang ada akan berkurangan dengan masa pelayaran lebih lama," tambahnya.

Dilaporkan sebuah kapal kontena bernama 'MCS Aries' telah dirampas oleh Pasukan Khas Tentera Laut Sepah (IRGC) dengan mengggunakan helikopter.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2024 @ 1:38 PM