TABUNG Haji. FOTO NSTP.
TABUNG Haji. FOTO NSTP.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Pendeposit Tabung Haji (TH) tidak boleh terlalu berharap untuk memperoleh pulangan dividen yang tinggi berikutan TH terpaksa membiayai kenaikan kos mengerjakan haji yang terus meningkat setiap tahun.

Penganalisis Ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School Prof Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pendeposit seharusnya memahami kemampuan TH dalam melaksanakan tugas hakikinya iaitu membantu umat Islam di Malaysia mengumpul simpanan mencukupi bagi menunaikan kewajipan rukun Islam kelima.

Katanya, TH juga bukan badan pelaburan yang harus memberi pulangan tinggi kepada pendeposit.

"TH mempunyai dua tanggungjawab utama iaitu mengurus haji dan mengagihkan keuntungan.

"TH tidak mampu memasukkan pelaburan berisiko tinggi dan jangka panjang dari segi pulangan kerana setiap tahun perlu memberi pulangan dividen (hibah) kepada pendeposit serta memberi subsidi dan menguruskan jemaah haji.

"TH juga tidak boleh melabur dalam jangka masa panjang seperti Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di mana pengeluaran hanya boleh dibuat oleh pendeposit apabila mereka mencapai umur tertentu.

"Sebaliknya, pendeposit TH boleh mengeluarkan simpanan mereka pada bila-bila masa dan ini secara langsung mengehadkan pengurusan portfolio pelaburan TH, terutamanya dari segi kecairan simpanan atau menyediakan wang tunai.

"TH mesti mempunyai kecairan mencukupi dan tidak terlalu komited dalam pelaburan jangka panjang berskala besar," katanya.

Beliau berkata, adalah tidak wajar untuk membuat perbandingan setara membabitkan kadar pulangan yang diberikan oleh TH dengan organisasi lain seperti KWSP, KWAP dan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), walaupun TH pernah mencatatkan agihan keuntungan mencecah 9.5 peratus pada 1994 hingga 1997.

Menurutnya, bantuan kewangan haji turut meningkat setiap tahun berikutan kenaikan kos di luar kawalan TH khususnya di tanah suci.

Ini kerana pada 2019, kos mengerjakan haji ialah RM22,900, tetapi pada 2024 ia meningkat kepada RM33,300 berbanding RM30,850 pada 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2024 @ 7:44 AM