FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Tan Sri Abdul Rashid Hussain akan memberi keutamaan terhadap usaha bagi mengukuhkan pelaburan dana terbabit.

Berbekalkan pengalaman luasnya dalam sektor perbankan, beliau yang juga Pengasas Kumpulan perbankan RHB, turut menekankan kepentingan untuk mengimbangi lembaran imbangan TH bagi memastikan pendapatan mapan di masa depan.

TH semalam mengumumkan agihan keuntungan 3.10 peratus selepas zakat bagi tahun kewangan 2023, sekali gus mengekalkan angka sama bagi tahun keempat berturut-turut.

Pada masa sama, Abdul Rashid turut menyuarakan kebimbangan mengenai kenaikan kos menunaikan haji dengan 85 peratus daripada kos berkenaan disebabkan oleh faktor luaran seperti pengangkutan dan penginapan.

"Bagi jangka panjang, faktor yang boleh dibimbangkan adalah sama ada kita perlu mengurangkan subsidi atau subsidi ini hanya diberi kepada golongan miskin," katanya pada sidang media selepas sesi pengumuman agihan keuntungan TH, semalam.

Kos menunaikan haji bagi jemaah Muassasah meningkat kepada RM33,300 tahun ini berbanding RM30,850 tahun lepas, disebabkan terutamanya oleh peningkatan kos penginapan di Arab Saudi dalam persekitaran kepesatan pembangunan di sekitar kota suci Madinah dan Makkah.

Abdul Rashid mengambil alih jawatan pengerusi TH daripada Tan Sri Azman Mokhtar pada 20 Disember 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2024 @ 11:34 AM