SEBANYAK 70.6 peratus responden menyatakan mereka akan mengikut kemampuan masing-masing dan ‘apa yang ada’ sahaja.
SEBANYAK 70.6 peratus responden menyatakan mereka akan mengikut kemampuan masing-masing dan ‘apa yang ada’ sahaja.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Pengguna dijangka membeli-belah sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini dalam penuh kesederhanaan dengan faktor harga menjadi pendorong utama untuk mereka berbelanja.

Ia berdasarkan kaji selidik oleh syarikat perunding penjenamaan dan penerbitan kandungan strategik korporat yang memberi tumpuan terhadap strategi penceritaan lestari, Modachi Sdn Bhd (Modachi).

Ketua Pegawai Eksekutif Modachi, Faizal Zakaria berkata, 92 peratus responden memberi keutamaan terhadap harga sebelum melihat kepada kualiti (80 peratus), manakala 74 peratus lagi mencari promosi harga murah sebagai pendorong utama berbelanja.

"Ada pengguna akan melihat kepada produk berjenama terkenal (46 peratus) namun ia menjadi faktor keempat dalam membuat keputusan berbanding godaan promosi jualan murah.

"Hanya 22.6 peratus menjelaskan mereka setia terhadap jenama pilihan yang mereka gunakan sebelum ini.

"Peratusan tinggi terhadap keutamaan harga ini menyaksikan orang ramai akan kembali membeli-belah secara dalam talian (62.5 peratus), berbanding 37.5 peratus mengakui selesa untuk berurusan dengan kedai fizikal," katanya dalam kenyataan.

Hampir sepertiga responden (28.6 peratus) menyatakan mereka akan berbelanja bawah RM1,000 untuk sambutan hari raya sebelum ini, manakala hampir suku responden atau 24 peratus akan berbelanja bawah RM5,000.

Ketika diminta untuk menjelaskan bagaimana mereka akan meraikan hari raya pada tahun hadapan, 84.4 peratus menyatakan Aidilfitri akan disambut dengan berbusana baharu.

Menurutnya, responden juga menyatakan, mereka akan meneruskan tradisi berkunjung ke rumah rakan, mahupun keluarga terdekat dan sudah pasti, juadah tradisi tetap akan diteruskan.

Berhubung pertembungan Aidilfitri yang didahului pembukaan penggal baharu persekolahan 2024, lebih 51 peratus responden menjelaskan mereka akan membuat pembelian hari raya, lebih awal.

"Walaupun responden menyatakan mula berbelanja awal, sebanyak 70.6 peratus responden menyatakan mereka akan mengikut kemampuan masing-masing dan 'apa yang ada' sahaja.

"Bagi sebahagian lagi, responden menyatakan sumber perbelanjaan mereka akan banyak ditentukan oleh jumlah simpanan yang dibuat secara berkala, manakala 25.6 peratus mahu menggunakan 'bonus dan dividen'," katanya.

Faizal berkata, kaji selidik secara rawak mudah dalam talian membabitkan 359 orang itu mendapati hanya separuh mahu berbelanja secara dalam talian kerana berpendapat harga yang ditawarkan lebih murah (40.2 peratus), berbanding kedai fizikal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2024 @ 10:51 AM