GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerajaan dijangka memperoleh tambahan hasil berjumlah RM3.45 bilion daripada peluasan skop cukai perkhidmatan dan perubahan kadar daripada enam peratus kepada lapan peratus, kata Kementerian Kewangan.

Kementerian tersebut berkata demikian menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, semalam bagi menjawab soalan daripada Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang bertanyakan mengenai pertambahan pendapatan negara daripada kenaikan kadar cukai perkhidmatan yang berkuat kuasa pada 1 Mac 2024 itu.

Dalam pada itu, Kementerian Kewangan memaklumkan hasil Kerajaan Persekutuan pada 2024 diunjur meningkat kepada RM312.159 bilion selepas mengambil kira langkah cukai Belanjawan 2024, disumbangkan oleh kutipan hasil cukai yang lebih tinggi dan pertumbuhan ekonomi yang lebih baik.

Hasil cukai kekal sebagai penyumbang utama kepada hasil Kerajaan Persekutuan iaitu 79.5 peratus daripada jumlah hasil, bersamaan dengan 12.57 peratus daripada kadar Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Selain itu jumlah tersebut turut meliputi hasil bukan cukai mewakili 20.5 peratus iaitu bersamaan dengan 3.24 peratus daripada KDNK.

"Kerajaan menggubal Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) 2023 berkuat kuasa mulai 1 Januari 2024 untuk mengukuhkan tadbir urus dan disiplin fiskal negara, meningkatkan langkah mobilisasi hasil, meluaskan asas hasil cukai, menambah baik dan menyemak semula struktur dan perundangan cukai, serta pemberian insentif percukaian.

"Langkah ini akan direalisasikan melalui pelaksanaan Strategi Hasil Jangka Sederhana bagi memastikan perancangan cukai jangka sederhana adalah lebih teratur dan sepadan dengan perbelanjaan," katanya.

Kementerian Kewangan berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) mengenai strategi yang diambil kerajaan bagi memastikan berlaku peningkatan kadar kutipan hasil cukai kerajaan melebihi kadar 12 peratus daripada KDNK agar lebih banyak program pemulihan ekonomi dapat dirancakkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2024 @ 11:56 AM