Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan (dua dari kiri) bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof (tiga, kanan) selaku Moderator Diskusi Madani 3 "Mencipta Peluang Bumiputera Dalam Peralihan Tenaga" pada Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024). - FOTO BERNAMA
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan (dua dari kiri) bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof (tiga, kanan) selaku Moderator Diskusi Madani 3 "Mencipta Peluang Bumiputera Dalam Peralihan Tenaga" pada Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024). - FOTO BERNAMA
BERNAMA

Putrajaya: Syarikat utiliti Tenaga Nasional Berhad (TNB) membelanjakan sejumlah RM12 bilion pada tahun lepas bagi pelbagai perbelanjaan dengan separuh daripadanya atau RM6 bilion diperuntukkan bagi syarikat atau vendor bumiputera.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata TNB juga secara konsisten memastikan perbelanjaannya diperuntukkan kepada pembekal atau vendor bertaraf bumiputera bagi menyumbang pembangunan golongan itu.

"Apa yang telah dilaksanakan TNB dalam konteks membangunkan modal ekonomi dan ekonomi rakyat adalah memberi peluang kepada syarikat bumiputera memasuki pasaran bersama dengan TNB.

"Dalam konteks lain, TNB melantik syarikat bumiputera atau vendor tertentu dalam rantaian nilai tenaga," katanya yang menjadi ahli panel sesi Diskusi MADANI 3 : Mencipta Peluang Bumiputera dalam Peralihan Tenaga di Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 di sini, semalam.

Sesi dikendalikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof sebagai moderator, disertai empat ahli panel lain, termasuk Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr Hazland Abang Hipni.

Mengulas selanjutnya, Megat Jalaluddin berkata TNB turut memperkenalkan program pembangunan vendor bagi rantaian nilai tertentu membabitkan syarikat bumiputera dengan peruntukan hampir RM3 bilion.

Dua kategori vendor merangkumi pembekal barangan atau yang terlibat dengan pembuatan serta pembekal perkhidmatan kepada TNB, katanya.

Selain itu, TNB turut menumpukan aspek peluang pekerjaan dan mempunyai 33,000 pekerja setakat ini, majoritinya merupakan golongan bumiputera.

Sementara itu, Hazland berkata terdapat sekurang-kurangnya tujuh jenis tenaga di Malaysia iaitu hidro, solar, hidrogen, biojisim, angin luar pesisir, sintetik serta minyak dan gas, malah boleh disertai ramai, termasuk kalangan bumiputera.

"Kita perlu persiapkan diri kita sama ada sebagai pemain secara langsung atau pekerja tenaga teknikal," katanya.

KEB 2024 yang berlangsung pada 29 Feb hingga 2 Mac 2024 di sini, turut menjadi platform untuk mengetengahkan potensi teknologi dan peluang baharu bidang ekonomi dalam usaha memperkasa golongan bumiputera.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2024 @ 12:21 PM