Menteri Kewangan II Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. - FOTO BERNAMA
Menteri Kewangan II Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. - FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Ringgit dijangka terus mengukuh pada tahun ini, diniagakan pada RM4.50 berbanding dolar AS pada akhir 2024, didorong oleh kedudukan ekonomi negara yang positif, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata kerjasama Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia (BNM) serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bersedia untuk meningkatkan aliran masuk wang ke dalam pasaran pertukaran asing bagi mengukuhkan nilai ringgit.

Katanya BNM juga sentiasa bersedia untuk mengambil langkah campur tangan dalam pasaran pertukaran mata wang asing untuk membendung pergerakan mata wang yang dianggap berlebihan.

"Sebagai contoh, BNM akan menjual mata wang dolar AS daripada rizabnya untuk menyekat kelemahan ringgit yang berlebihan.

"Usaha yang dilakukan kerajaan menunjukkan keberkesanan dan tiada keperluan untuk menggunakan instrumen seperti tambat ringgit atau menutup pertukaran ringgit seperti yang dilakukan semasa Krisis Kewangan Asia," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang ingin tahu mengenai jangkaan kerajaan untuk melihat mata wang negara pulih kepada tahap berpatutan dan langkah-langkah yang diambil oleh BNM untuk mengukuhkan nilai ringgit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 12:47 PM