GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan melaksanakan projek rintis sistem invois elektronik (e-invois) membabitkan 90 syarikat bermula Mei depan, berbanding 50 syarikat sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin berkata, pertambahan jumlah penyertaan syarikat yang bersetuju untuk mengambil bahagian dalam projek rintis ini memberi peluang kepada wakil setiap industri untuk mengaplikasikan sistem e-invois dalam urusan mereka.

"Ada pertambahan jumlah penyertaan syarikat yang bersetuju untuk menyertai projek rintis e-invois ini. Ia terdiri daripada pelbagai industri, terutamanya syarikat yang mempunyai pendapatan melebihi RM100 juta yang akan mula melaksanakan sistem ini.

"Kita akan menilai dan mengenal pasti sekiranya terdapat isu berbangkit berhubung pelaksanaan e-invois. Sekiranya ada, kita akan atasi dan maklumkan pada yang lain," katanya kepada Bernama selepas program Ruang Bicara bertajuk Pelaksanaan e-invois di Malaysia terbitan Bernama TV, malam tadi.

Inisiatif e-invois di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) diperkenalkan seiring dengan Pelan Hala Tuju Strategik e-Dagang Kebangsaan (NESR) 2.0 dan Program Mangkin Malaysia Digital (Pemangkin).

Sebanyak 4,000 syarikat yang memperoleh pendapatan melebihi RM100 juta setahun disasarkan menjadi kumpulan pertama untuk terbabit dalam pelaksanaan e-invois yang akan dilaksanakan mulai 1 Ogos 2024.

Syarikat dengan pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM25 juta dan sehingga RM100 juta akan mula mengguna pakai e-invois pada 1 Januari 2025.

Penguatkuasaan penuh sistem e-invois akan dilaksanakan pada 1 Julai 2025.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 2:41 PM