Idham Nawawi
Idham Nawawi
BERNAMA

Kuala Lumpur: CelcomDigi Bhd mencatatkan lonjakan dalam keuntungan bersihnya kepada RM435.11 juta pada suku keempat (S4) berakhir 31 Disember 2023, berbanding RM127.36 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, penyedia perkhidmatan telekomunikasi itu mengaitkan pendapatannya yang lebih tinggi terutamanya disebabkan susut nilai yang lebih rendah susulan pengurangan dalam nilai saksama aset bersih bagi penilaian akhir perlaksanaan peruntukan harga belian semasa suku tersebut.

Sementara itu, hasil bagi suku tersebut meningkat kepada RM3.27 bilion daripada RM2.18 bilion sebelumnya, didorong oleh peningkatan jualan peranti dan hasil perkhidmatan.

Bagi setahun penuh (TK2023), keuntungan bersih CelcomDigi melonjak kepada RM1.55 bilion daripada RM848.03 juta pada tahun sebelumnya apabila hasil melonjak kepada RM12.68 bilion daripada RM6.77 bilion, terutamanya didorong oleh jualan peranti dan hasil perkhidmatan yang lebih tinggi.

"Hasil perkhidmatan tumbuh sebanyak 0.4 peratus kepada RM10.86 bilion disumbangkan oleh hasil lebih tinggi daripada segmen prabayar dan gentian rumah, di samping pertambahan asas pelanggan. Bagaimanapun, segmen pascabayar terjejas oleh pengurangan kadar kesalingsambungan berkuat kuasa Mac 2023, walaupun diimbangi oleh aktiviti perayauan yang lebih baik," katanya.

Mengenai prospek untuk 2024, CelcomDigi berkata ia akan kekal teguh dalam mempercepatkan integrasi rangkaian dan inisiatif pemodenannya.​

"Perjalanan transformatif untuk model pengoperasian sedang dilaksanakan, yang menekankan kepada kecemerlangan operasi dan mengutamakan pengalaman pelanggan. Kesannya ialah kos integrasi yang lebih tinggi dijangka berlaku," tambahnya.

Tanpa sebarang keadaan diluar jangka dan kesan tidak menentu daripada pelaksanaan rangkaian dwi 5G, CelcomDigi menjangkakan hasil perkhidmatannya mencatatkan peningkatan satu digit yang rendah dengan nisbah perbelanjaan modal (capex) kepada jumlah hasil sebanyak 15 peratus hingga 18 peratus.

Sementara itu dalam satu kenyataan media, CelcomDigi berkata ia telah berjaya mencapai semua penanda aras integrasi bagi tahun pertama pada 2023 yang membolehkan syarikat itu merealisasikan sinergi kasar melebihi RM300 juta pada TK2023.​

CelcomDigi menyelesaikan sasaran integrasi dan pemodenan rangkaiannya sebanyak 35 peratus, mendahului rancangan awalnya sebanyak 30 peratus menjelang akhir 2023.

Syarikat itu juga telah memodenkan lebih 5,600 tapak setakat Disember 2023, membolehkan pelanggan di kawasan pasca penggabungan kini menikmati kelajuan muat turun yang lebih baik di antara 20 peratus dan 26 peratus, dan kekuatan isyarat yang lebih baik di antara 13 peratus dan 16 peratus, katanya.

Pada suku keempat tahun lepas, CelcomDigi melabur RM1.01 bilion dalam capex, menjadikan jumlah capex kepada RM1.75 bilion, diterjemahkan kepada intensiti capex sebanyak 13.8 peratus pada TK2023.

Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi Datuk Idham Nawawi berkata syarikat itu mencapai kemajuan yang ketara dengan mengintegrasikan banyak bidang perniagaan, mencapainya dengan gangguan yang minimum kepada pengalaman pelanggan sambil bersaing secara berkesan untuk memimpin pasaran.

"Pelaksanaan segala usaha ini pasaran dan kecemerlangan operasi yang kukuh membolehkan kami menyampaikan prestasi yang kukuh dan nilai pemegang saham selaras dengan panduan TK2023 kami," tambahnya.

Sehubungan itu, CelcomDigi mengisytiharkan dividen interim keempat sebanyak 3.5 sen sesaham atau jumlah dividen TK2023 sebanyak 13.2 sen sesaham, sejajar dengan komitmen dividen progresifnya kepada para pemegang saham.​

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2024 @ 5:34 PM