PENGUSAHA industri pengecasan kenderaan elektrik (EV) perlu memastikan semua syarat pelesenan daripada Suruhanjaya Tenaga dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) termasuk ketetapan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dipatuhi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, agensi kerajaan terbabit diarahkan menyelaras dan memudah cara peraturan berkaitan termasuk berkaitan hal pelesenan bagi memastikan pembangunan serta pengoperasian stesen pengecas EV di seluruh negara berjalan dengan lancar.

"Kerajaan mengambil maklum cabaran semasa dihadapi pihak penyedia perkhidmatan pengecasan EV dan saya mengarahkan agensi berkaitan menyelaras dan memudah cara.

"Ini membantu menyokong pembangunan ekosistem EV secara holistik, tanpa menjejaskan aspek keselamatan," katanya dalam kenyataan, semalam.

Kenyataan menerusi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) dikeluarkan selepas Mesyuarat Jawatankuasa EV Kebangsaan (NEVSC) pertama bagi 2024 yang julung kali dipengerusikan Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra).

Antara perkara dibincang dalam NEVSC berkaitan usaha menambah baik prosedur dan pelesenan stesen pengecas EV.

Menurut kenyataan itu, bagi menambah bilangan stesen pengecasan EV di lebuh raya, PLUS dengan kerjasama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bersetuju memudah cara proses membangunkan stesen pengecas di sepanjang lebuh raya Plus.

Ia termasuk mengenal pasti lokasi strategik di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dan Hentian Sebelah di lebuh raya Plus.

"Selain itu, kerajaan meminta pembekalan kuasa elektrik di lokasi pembangunan pengecasan EV diluluskan di R&R sentiasa mencukupi dan pembangunan substesen baharu disegerakan di lokasi diperlukan," kata Miti.

Mesyuarat dimaklumkan Tenaga Nasional Bhd (TNB) bahawa syarikat utiliti nasional itu meneliti kaedah penyumberan bekalan tenaga dan penggunaan tenaga mengikut waktu untuk menggalakkan aktiviti pengecasan EV menggunakan sumber tenaga boleh diperbaharui (RE).

Sementara itu, Menteri Miti, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, selain aktiviti pengecasan EV menggunakan sumber tenaga boleh diperbaharui, kerajaan menyambut baik cadangan untuk menggalakkan model perniagaan baharu bagi mengoptimumkan pengecasan EV pada waktu penggunaan grid rendah.

"Mesyuarat dimaklumkan bahawa Northport (Malaysia) Bhd membangkitkan isu berkaitan risiko keselamatan EV semasa pengendalian dalam aspek logistik.

"Oleh itu, mesyuarat bersetuju garis panduan amalan baik berkenaan tatacara pengendalian EV semasa urusan logistik disediakan dalam tempoh enam bulan sebagai rujukan industri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2024 @ 7:01 AM