GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Hasil tambahan daripada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dinaikkan kepada 8.0 peratus berupaya memberi manfaat kepada rakyat dalam bentuk bantuan tunai, penambahbaikan infrastruktur di bandar dan penjagaan kesihatan dalam kalangan penduduk yang semakin menua di negara ini.

Sebelum ini kadar SST ialah pada 6.0 peratus dan kadar baharu cukai itu (8.0 peratus) yang berkuat kuasa 1 Mac ini tidak merangkumi perkhidmatan untuk makanan dan minuman, telekomunikasi, tempat letak kereta dan logistik.

Menurut Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, langkah itu tindakan betul kerana ia memberi lebih banyak hasil dan merapatkan jurang belanjawan Malaysia dengan berkesan.

"Ia akan melengkapkan langkah-langkah lain kerajaan seperti rasionalisasi subsidi dan reformasi pencen, yang akhirnya mengurangkan defisit fiskal.

"Langkah itu juga dilihat sebagai usaha kerajaan untuk mengawal kewangannya supaya lebih berdaya tahan dan memastikan defisit dan paras hutang berada dalam trajektori yang lebih rendah seperti yang ditetapkan dalam Akta Tanggungjawab Fiskal dan Kewangan Awam.

"Ini seterusnya akan meningkatkan kredibiliti kerajaan dan boleh meningkatkan keyakinan pelabur," katanya.

Sehubungan itu, Ketua Cukai Tidak Langsung PwC Malaysia Raja Kumaran mencadangkan supaya kerajaan memulangkan kembali kepada sektor penjagaan kesihatan untuk bersedia menghadapi populasi yang semakin tua.

Beliau berkata, lebih banyak pelaburan perlu diketepikan untuk menjadikan infrastruktur di bandar lebih mesra, mudah diakses dan perkhidmatan 'sedia diguna untuk golongan berusia' bagi menampung segmen berkenaan.

Raja berkata, membangunkan pendidikan yang komprehensif untuk menyokong celik kesihatan dalam kalangan penduduk yang semakin tua juga penting kerana dilaporkan bahawa penduduk yang semakin tua di Malaysia berkembang pada kadar yang lebih cepat berbanding 30 tahun lalu.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengunjurkan bahawa Malaysia akan mencapai status negara menua lebih awal daripada yang dijangkakan di tengah-tengah penurunan nisbah kadar kelahiran kasar dan kadar kematian kasar di negara ini.

Sementara itu, Mohd Afzanizam mengesyorkan hasil tambahan daripada cukai itu diperuntukkan kepada program pemberian tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), yang bertujuan membantu rakyat Malaysia menghadapi peningkatan kos sara hidup dan bantuan tunai Sumbangan Asas Rahmah (Sara) untuk golongan miskin dan isi rumah miskin tegar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2024 @ 11:41 AM