KERAJAAN perlu mempunyai strategi  ampuh untuk mengelakkan kejatuhan terus nilai ringgit yang bukan sahaja menurun berbanding dolar tetapi juga sebahagian besar mata wang negara lain terutamanya negara jiran.
KERAJAAN perlu mempunyai strategi ampuh untuk mengelakkan kejatuhan terus nilai ringgit yang bukan sahaja menurun berbanding dolar tetapi juga sebahagian besar mata wang negara lain terutamanya negara jiran.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Mata wang ringgit yang mencatatkan nilai terendah dalam sejarah (RM4.787) tahun ini berbanding ketika krisis mata wang Asia pada 1998 (RM4.712) perlu ditangani segera oleh kerajaan melalui strategi yang ampuh.

Penganalisis ekonomi Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, sekiranya tidak ditangani segera, barangan makanan yang diimport dari luar negara akan terus naik harganya, menyebabkan kenaikan kadar inflasi semula.

Justeru katanya, ini sudah pasti ia akan memberi tekanan kepada kos sara hidup rakyat termasuk kos tajaan pelajar luar negara turut meningkat kerana kelemahan ringgit ini.

"Kerajaan perlu mempunyai strategi yang ampuh untuk mengelakkan kejatuhan nilai ringgit yang bukan sahaja menurun berbanding dolar tetapi juga sebahagian besar mata wang negara lain terutamanya negara jiran seperti Singapura, Indonesia dan Filipina serta negara Eropah (mata wang Euro) dan United Kingdom (mata wang Pound Sterling).

"Semasa krisis mata wang Asia pada 1998, ringgit pernah mencecah RM4.7125 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada 9 Januari 1998, yang pastinya nilai sekarang RM4.787 merekodkan nilai terendah dalam sejarah.

"Kemungkinan ia akan melepasi tahap sekarang ini (agak tinggi) dalam beberapa minggu akan datang, memandangkan kepantasan susut nilai ringgit yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan berdasarkan analisis awal, mungkin melihat ringgit mencapai RM4.80 berbanding dolar AS," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, bagaimanapun, sektor ekonomi domestik Malaysia masih berkembang baik dan mengekalkan momentum positif, kerana pihak kerajaan dan swasta terus memberikan fokus kepada segmen terbabit dengan pelbagai aktiviti dan dasar yang strategik.

Beliau berkata, namun kemerosotan Indeks Pengeluaran Perindustrian Malaysia (IPI) iaitu indeks pembuatan menurun 0.1 peratus pada Disember 2023 berbanding 2022, sedikit membimbangkan dengan sektor perkilangan menyusut -1.4 peratus, terutamanya barangan buatan untuk dieksport menyusut 4.1 peratus.

"Penurunan nilai ringgit tidak pula membantu pertambahan pesanan baharu, ini kerana nilai dolar AS yang tinggi dan kos kadar faedah yang tinggi di negara yang biasa mengimport barangan Malaysia turut mengurangkan minat pembeli.

"Bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pula yang sebahagian besarnya sebagai vendor kepada pengilang besar iaitu syarikat multinasional (MNC) yang mengeksport ke luar negara, ia pastinya terjejas berikutan penurunan jumlah pesanan daripada luar.

"Selain itu, menurut data Jabatan Standard Malaysia (JSM), penurunan eksport mencerminkan prestasi eksport negara yang terus jatuh kepada negatif lebih besar sebanyak 10 peratus pada Disember 2023.

"Bagi perbandingan bulan ke bulan, industri berorientasikan eksport melemah sebanyak 3.3 peratus dan indeks IPI yang negatif memberikan petunjuk kurang memberangsangkan untuk dua ke tiga bulan yang akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2024 @ 6:00 AM