Rafizi menyampaikan Amanat Menteri Ekonomi di Putrajaya, hari ini - Gambar tangkap layar Facebook Rafizi Ramli
Rafizi menyampaikan Amanat Menteri Ekonomi di Putrajaya, hari ini - Gambar tangkap layar Facebook Rafizi Ramli
Mahanum Abdul Aziz


Putrajaya: Pelaksanaan Pangkalan Data Utama (Padu) akan dapat mempertingkatkan penyampaian khidmat kerajaan dan pada masa sama dapat menjimatkan masa serta wang negara, demikian menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Beliau berkata, dengan adanya pangkalan data bersepadu menerusi Padu, komunikasi strategik bagi program kerajaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan menepati kumpulan sasar.

Katanya, pelaksanaan program lebih mudah dengan kumpulan sasar boleh dihubungi secara langsung berbanding mengadakan jelajah satu negara untuk promosi dan pendaftaran.

Jelasnya, dengan adanya Padu, GovTech (revolusi perkhidmatan sektor awam dengan mengintegrasikan operasi kerajaan ke dalam satu platform digital yang serba lengkap dan berkesan) boleh dilaksanakan dengan aplikasi kerajaan dijajarkan menerusi tingkap tunggal.

"Padu diputuskan untuk menjadi pangkalan data utama dan tulang belakang kepada GovTech. Kita tidak boleh buat GovTech tanpa ada data bersepadu," katanya pada Majlis Amanat Menteri Ekonomi yang diadakan di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron.

Rafizi berkata, Padu akan ambil masa untuk orang ramai mula faham dan beliau berpendapat, dengan adanya pangkalan data bersepadu itu, ia akan mengubah dan menambah baik kecekapan khidmat awam.

Beliau berkata, apabila sebahagian besar khidmat dan urusan kerajaan dibuat secara digital menerusi GovTech, maka kerajaan akan ada titik data yang mencukupi untuk mulakan kecerdasan buatan (AI) yang membolehkan pertanyaan awam dikendalikan AI.

Katanya, dengan titik data yang mencukupi, algoritma boleh dilakukan secara tepat dan membolehkan tugas penjawat awam menumpukan kepada perkara besar yang berimpak tinggi.

Padu dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Januari lalu dan pendaftarannya dibuka sehingga 31 Mac 2024 bagi membolehkan orang ramai mengemas kini serta mengesahkan maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan, bilangan isi rumah dan alamat.

Semua rakyat berumur 18 tahun ke atas perlu mendaftar dan membuat semakan data di portal Padu iaitu https://padu.gov.my/.

Bagi individu yang tidak mempunyai akses kepada kemudahan internet, pendaftaran juga boleh dilakukan di Pejabat Operasi Negeri Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) atau Pusat Ekonomi Digital (PEDi).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2024 @ 3:39 PM