KADAR OPR yang dijangka kekal tidak berubah  turut menyokong permintaan   hartanah.
KADAR OPR yang dijangka kekal tidak berubah turut menyokong permintaan hartanah.

MIDF Research kekal positif terhadap sektor hartanah dengan asas bertambah baik dan kediaman tidak terjual yang lebih rendah, sekali gus meredakan kebimbangan mengenai penawaran berlebihan.

Bank penyelidikan itu berkata, kadar dasar semalaman (OPR) dijangka kekal tidak berubah dan keadaan ini sewajarnya turut menyokong permintaan terhadap hartanah.

Menurut MIDF Research, kelonggaran syarat bagi program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) dilihat positif memandangkan langkah ini akan mendorong permohonan dan permintaan terhadap hartanah.

Kajian semula terkini terhadap MM2H antara lain adalah syarat umur minimum yang diturunkan kepada 30 tahun berbanding 35 tahun sekali gus meluaskan akses, dan prasyarat kewangan yang dilonggarkan.

"Negeri yang menjadi pilihan warga asing seperti Johor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang sewajarnya meningkatkan permintaan," kata MIDF Research dalam nota penyelidikan, semalam.

Sementara itu, Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, pembangunan di Johor, antaranya Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JSSEZ) yang perinciannya dijangka dikeluarkan pada minggu depan, akan menjadi tumpuan sektor itu pada separuh pertama 2024.

"Kami menantikan maklumat mengenai JSSEZ. Ia mungkin terletak di Sedenak iaitu sebahagian daripada 2,950 hektar (7,290 ekar) yang dipunyai oleh Johor Corp milik kerajaan negeri. Pada pandangan kami, simpanan tanah yang besar dan kos tanah agak rendah seharusnya menarik pelaburan asing, sama seperti Iskandar Puteri yang dilancarkan pada 2007," kata bank pelaburan itu.

Maybank IB berkata, penempatan JSSEZ di Sedenak adalah rasional untuk mewujudkan kawasan pertumbuhan baharu di Iskandar Malaysia memandangkan langkah ini akan melahirkan peluang pekerjaan. Pusat data turut ditempatkan di kawasan ini sekali gus akan mempercepat pertumbuhan di kawasan sekitarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 January 2024 @ 7:10 AM