TENGKU Zafrul (tengah) bersama Ketua Setiausaha Miti, Datuk Hairil Yaacob (kiri) dan Ketua Pegawai Ekskekutif MARii, Azrul Reza Aziz pada  majlis prapelancaran Pameran Auto Malaysia  (MAS)   2024. - Gambar NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
TENGKU Zafrul (tengah) bersama Ketua Setiausaha Miti, Datuk Hairil Yaacob (kiri) dan Ketua Pegawai Ekskekutif MARii, Azrul Reza Aziz pada majlis prapelancaran Pameran Auto Malaysia (MAS) 2024. - Gambar NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Malaysia mempunyai industri automotif dinamik yang menyokong lebih 700,000 pekerja dalam ekosistemnya, menyumbang lebih 4.4 peratus tenaga kerja di negara ini, sekali gus mampu menjadi daya tarikan kepada pengeluar automotif global.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, industri automotif menyumbang sekitar 4.0 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia.

Katanya, negara juga berada di landasan kukuh mencapai RM104.2 bilion kepada sumbangan KDNK dengan jumlah pengeluaran 1.47 juta unit kenderaan menjelang 2030.

"Pada 2023, jualan kenderaan Malaysia juga mencatatkan pertumbuhan kukuh di mana untuk 10 bulan pertama tahun ini, jualan meningkat sebanyak 11.6 peratus kepada hampir 647,000 unit kenderaan.

"Pada masa ini, negara mempunyai lebih 30 pengeluar dan pemasang kenderaan yang mendapat manfaat daripada ekosistem automotif Malaysia yang kukuh.

"Kehadiran pengeluar ini juga telah memberi kesan positif ke atas rantaian bekalan domestik yang diwakili oleh lebih 600 pembuat alat ganti dan komponen di negara ini.

"Dalam mengembangkan lagi sektor ini, dasar negara yang jelas sudah ada yang merangkumi strategi, inisiatif serta membentuk trajektori industri automotif.

"Oleh itu, Malaysia berhasrat mengubah industri ini ke tahap lebih tinggi, memanfaatkan trend global yang muncul, landskap semasa, pendigitalan dan termasuk amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG)," katanya pada majlis prapelancaran Pameran Auto Malaysia (MAS) 2024 di sini, semalam.

Tengku Zafrul berkata, melalui Dasar Automotif Negara (NAP2020), ia menyediakan industri automotif tempatan hala tuju jelas untuk persiapan bagi masa depan, melalui pembangunan Generasi Seterusnya Kenderaan (NxGV) termasuk kenderaan elektrik (EV) yang cekap tenaga dan mesra alam, selaras dengan pelancaran Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, serta Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2023 @ 6:15 AM