GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Nilai ringgit susut sebanyak 0.2 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada suku ketiga 2023, seiring dengan penurunan nilai mata wang serantau lain berikutan peningkatan nilai dolar AS, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Bagaimanapun, Gabenor BNM Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata, nilai ringgit meningkat sebanyak 1.4 peratus berbanding kumpulan unit mata wang rakan perdagangan utama pada suku ketiga berkenaan sebagaimana ditunjukkan oleh kadar pertukaran efektif nominal ringgit (NEER).

"Keadaan kewangan domestik itu didorong terutamanya oleh jangkaan yang berubah-ubah terhadap landasan dasar monetari global.

"Ini khususnya kekukuhan pasaran pekerja AS yang menyebabkan jangkaan pendirian dasar lebih ketat oleh pihak Rizab Persekutuan AS (Fed) untuk jangka masa lebih lama dan seterusnya kadar faedah AS serta global yang lebih tinggi.

"Sebaliknya, (bank pusat China) People's Bank of China melaksanakan pelonggaran dasar monetari selanjutnya bagi menangani pertumbuhan lebih lemah daripada jangkaan di negara itu yang melemahkan sentimen pelabur terhadap rantau berkenaan," katanya pada sesi pengumuman prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku ketiga 2023 di sini, hari ini.

Menjelaskan selanjutnya, Abdul Rasheed berkata, pertumbuhan kredit kepada sektor swasta bukan kewangan meningkat kepada 4.2 peratus (suku kedua 2023: 3.7 peratus) disokong oleh peningkatan pertumbuhan dalam pinjaman perniagaan (1.6 peratus; suku kedua 2023: 0.5 peratus), manakala pertumbuhan bon korporat terkumpul kekal pada 5.0 peratus (suku kedua 2023: 4.9 peratus).

Selain itu, pertumbuhan pinjaman perniagaan lebih tinggi pula didorong terutamanya oleh peningkatan dalam pinjaman modal kerja kepada bukan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"Apa yang penting, pertumbuhan pinjaman PKS kekal menggalakkan (6.7 peratus; suku kedua 2023: 6.4 peratus). Bagi isi rumah, pinjaman terkumpul bertambah sebanyak 5.4 peratus (suku kedua 2023: 5.1 peratus) yang mencerminkan pertumbuhan stabil dan merentasi tujuan utama pinjaman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2023 @ 2:54 PM