KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP). FOTO Arkib NSTP
KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP). FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperuntukkan sebanyak RM97 bilion atau 83 peratus daripada jumlah peruntukan dana untuk pelaburan domestik pada tahun ini, kata Kementerian Kewangan (MoF).

Menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Selasa, kementerian berkata sejak tahun 2019 hingga 2023, KWSP telah memperuntukkan Alokasi Dana Tahunan purata melebihi 80 peratus untuk dilaburkan dalam pasaran domestik.

"KWSP akan terus memberi keutamaan kepada pelaburan domestik dengan mengalokasikan sebahagian besar daripada dana tahunannya kepada pasaran tempatan termasuk dalam bentuk pasaran wang di bank tempatan.

"Bagi memastikan KWSP dapat mengoptimumkan pelaburannya dengan mampan, Panel Pelaburan KWSP sentiasa berpandukan Alokasi Aset Strategik (SAA) yang mengalokasikan aset pelaburan KWSP dalam pelbagai kelas aset, geografi, mandat dan strategi selaras dengan objektif pelaburan KWSP sebagai sebuah pengurus dana persaraan," kata kementerian menjawab soalan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin (PN-Putrajaya).

Sejak penubuhan KWSP pada tahun 1951 sehingga kini, jumlah keseluruhan aset pelaburan KWSP adalah sebanyak RM1.082 trilion, sebanyak 61.4 peratus daripadanya dilaburkan dalam pelaburan domestik manakala 38.6 peratus lagi dalam pelaburan luar negara, kata MoF.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2023 @ 1:42 PM