Mohd Yusri mewakili Dr Irmohizam yang dinobat CEO Champion (SME) ketika majlis sempena Life at Work Awards (LAWA) 2023. FOTO Ihsan LAWA 2023
Mohd Yusri mewakili Dr Irmohizam yang dinobat CEO Champion (SME) ketika majlis sempena Life at Work Awards (LAWA) 2023. FOTO Ihsan LAWA 2023
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Pengarah Urusan Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim dinobatkan sebagai CEO Champion (SME) dalam majlis sempena Life at Work Awards (LAWA) 2023 di sini, malam semalam.

Majlis anjuran Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu diberikan sebagai mengiktiraf kepimpinan luar biasa dan komitmen beliau dalam mempromosikan kepelbagaian, ekuiti serta rangkuman di tempat kerja.

Dr Irmohizam berkata, beliau berbesar hati menerima anugerah berprestij itu yang menekankan kepentingan mewujudkan persekitaran kerja inklusif dan memperkasa tenaga kerja.

"Pengiktirafan ini adalah bukti komitmen kami yang tidak berbelah bahagi di WTCKL untuk mengutamakan warga kerja dan memupuk budaya kepelbagaian serta keterangkuman.

"Saya komited untuk meneruskan usaha kami dalam memacu perubahan positif dan menyokong kemajuan kepelbagaian, ekuiti dan keterangkuman di tempat kerja serta di mana sahaja," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan WTCKL Mohd Yusri Junos mewakilinya menerima anugerah berkenaan yang disampaikan Menteri Sumber Manusia V Sivakumar berikutan beliau menghadiri mesyuarat dan forum Lembaga Pengarah World Trade Centers Association (WTCA) di New York, Amerika Syarikat.

Pencapaian cemerlang Dr Irmohizam Ibrahim menjadi bukti kepada gaya kepimpinan yang unik, bercirikan komitmen mendalam terhadap sifat pembawaan beliau iaitu seorang pemimpin yang berkhidmat dan mengutamakan kesejahteraan serta pertumbuhan pekerja.

Pendekatan berwawasan beliau menyumbang dalam mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif dan memperkasakan tenaga kerja, memupuk suasana pertumbuhan serta keterangkuman di Malaysia.

Sumbangan beliau melangkaui peringkat nasional apabila terbabit dalam pelbagai organisasi antarabangsa.

Dr Irmohizam menerima penghormatan sebagai rakyat Malaysia pertama dipilih menganggotai Lembaga Pengarah WTCA, bukti pengiktirafan dan pengaruhnya dalam industri.

Selain itu, jawatannya sebagai Pengerusi Konvensyen dan Pameran Majlis Anggota Penasihat (MAC) WTCA menggariskan kepakaran mendalam dan sumbangan meluas dalam industri Acara Perniagaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2023 @ 7:34 PM