Yoshimura (kanan) dan Sarly pada pelancaran Honda Civic Type R Serba Baharu. - FOTO Hazreen Mohamad
Yoshimura (kanan) dan Sarly pada pelancaran Honda Civic Type R Serba Baharu. - FOTO Hazreen Mohamad
Lizam Ridzuan


Kuala Lumpur: Honda Malaysia melancarkan model Civic Type R Serba Baharu yang ditawarkan pada harga RM399,900 untuk pasaran Malaysia.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Hironobu Yoshimura berkata, sebanyak 19 unit ditawarkan untuk tahun ini dan ia adalah model paling berkuasa yang berada dalam barisan model Honda di negara ini.

"Untuk tahun hadapan kami akan memastikan lebih unit akan dibawa masuk untuk membolehkan lebih ramai pelanggan dapat memiliki model ini yang dihasilkan daripada DNA perlumbaan yang mula diperkenalkan pada 2007 di Malaysia.

"Sehingga kini sudah lebih 600 pemilik Honda Civic Type R di negara ini yang menawarkan model hot-hatch prestasi sesuai untuk jalanan atau litar perlumbaan," katanya pada majlis pelancaran di sini hari ini.

Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Operasinya, Sarly Adle Sarkum.

Pandangan hadapan Honda Civic Type R Serba Baharu.
Pandangan hadapan Honda Civic Type R Serba Baharu.

Model Type R Serba Baharu ini tampil dengan ciri lebih aerodinamik dengan gril hadapan dan kemasan sisi yang direka bagi aliran angin lebih baik termasuk spoiler belakang aluminium dan bampar difuser menambah ciri downforce lebih baik.

Ia juga didatangkan dengan padanan rim bersaiz 19 inci Hitam Matte selain rekaan lebih lebar, pajang dan rendah daripada model terdahulu.

Model ini dijana dengan enjin 2.0L VTEC Turbo menjana 319PS dan tork 420Nm dengan empat mod pemanduan Comfort, Sport, +R dan Individual adalah ciri baharu bagi ketetapan boleh ubah untuk pemandu.

Model ini mencatatkan kelajuan sifar ke 100 kilometer/sejam (km/j) dalam tempoh 5.5 saat.

Bahagian belakang model Honda Civic Type R Serba Baharu.
Bahagian belakang model Honda Civic Type R Serba Baharu.

Ciri lain dengan bahagian kabin diberi sentuhan Human Machine Interface (HMI) baharu, paparan audio sembilan inci, tempat duduk hadapan sport Type R dan kini dengan Honda Log R untuk akses dalam kenderaan bagi parameter prestasi.

Ia juga dilengkapi lapan ciri Honda Sensing dan hanya ditawarkan dengan satu warna sahaja iaitu Putih Championship.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2023 @ 12:11 PM