Kuala Lumpur: TM Global mengukuhkan komitmennya untuk memajukan landskap digital Malaysia dengan mengumumkan penyertaannya sebagai ahli konsortium Sistem Kabel Asia Link (ALC).
Langkah strategik ini meletakkan Malaysia sebagai salah satu destinasi utama yang menghubungkan Malaysia ke Hong Kong, kata TM Global yang menjadi cabang perniagaan borong domestik dan antarabangsa Telekom Malaysia Bhd dalam satu kenyataan.
Pembabitan TM Global dalam konsortium itu dibuat secara rasmi dengan termeterainya Perjanjian Pembinaan dan Penyelenggaraan dengan semua ahli konsortium yang diadakan di Pulau Pinang, baru-baru ini.
Tujuh anggota konsortium berkenaan pada masa ini adalah dari rantau Asean dan Asia Utara iaitu Singapore Telecommunications Limited (Singtel); China Telecom Global Limited (CTG); China Telecommunications Corporation (CTC); Globe Telecom (Globe) dan Dito Telecommunity Corporation (Dito) Filipina, Unified National Networks Sdn Bhd (UNN) Brunei dan Global Transit Singapore Pte Ltd (GTS).
"Penyertaan kami dalam konsortium ALC menandakan satu lagi kejayaan dalam usaha berterusan TM Global untuk meletakkan Malaysia sebagai hab digital di rantau ini.
"Dengan memanfaatkan lokasi strategik kami, ALC dijangka menarik lebih banyak kabel dasar laut antarabangsa untuk mendarat di Malaysia dan menarik pemain teknologi global untuk memanfaatkan pusat data kami," kata Pemangku Naib Presiden Eksekutif TM Global Khairul Liza Ibrahim.
Beliau berkata, ini juga membolehkan TM Global menyokong pelaksanaan pusat data hyperscalers dengan lebih baik lagi, serta memenuhi keperluan masa hadapan rangkaian 5G di negara ini,
Menjangkau jarak keseluruhan kira-kira 7,200 kilometer dengan kapasiti reka bentuk awal sebanyak 24Tbps, Stesen Pendaratan Kabel (CLS) untuk ALC akan terletak secara strategik di TM Exchange Kuala Sedili dan akan memanfaatkan kedudukannya yang berdekatan dengan pusat data Iskandar Puteri TM di Johor.
CLS Sedili ialah CLS antarabangsa keenam di negara ini, termasuk Kuala Muda, Morib, Mersing, Cherating serta Melaka dan pembinaannya dijangka siap menjelang 2025.
Menurut kenyataan itu, ALC akan meningkatkan kapasiti pemindahan data sistem kabel dasar laut sedia ada TM dengan ketara, memenuhi permintaan lebar jalur yang semakin meningkat di seluruh rantau Asean dan Asia Utara.
Tambahan pula, ALC menggunakan reka bentuk sistem kabel terbuka yang boleh disesuaikan dan serasi dengan pelbagai teknologi dan penaiktarafan.
"Ini meletakkan TM dan ahli konsortium lain di kedudukan yang lebih baik untuk memenuhi permintaan kapasiti data jalur lebar lebih tinggi yang semakin meningkat," katanya.
Menurut kenyataan itu, dengan pemilikan 32 sistem kabel dasar laut dan melalui kerjasama yang menjangkau lebih daripada 340,000 kilometer di seluruh dunia, TM komited untuk menyediakan prestasi perkhidmatan tertinggi dan pengalaman kualiti terbaik kepada pelanggan di peringkat domestik dan antarabangsa.