GOH
GOH

MAXIS mencatatkan prestasi kewangan yang sihat untuk suku kedua berakhir 30 Jun 2023 dengan untung bersih lebih tinggi pada RM329 juta.

Hasil perkhidmatan meningkat 3.2 peratus tahun ke tahun (YoY) kepada RM2.1 bilion dan pendapatan dikekalkan walaupun dalam persekitaran operasi yang mencabar.

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Goh Seow Eng berkata, dengan fokus pada konvergen mudah alih tetap dan cita-cita untuk mengembangkan bahagian pasaran, Maxis terus melihat pertumbuhan yang menggalakkan merentas perniagaan pengguna dan perusahaan.

"Maxis menantikan untuk menawarkan produk dan perkhidmatan berkaitan 5G kepada pelanggannya tidak lama lagi, selepas mendapat kelulusan daripada pemegang saham pada Mesyuarat Agung Luar Biasa yang akan datang untuk menandatangani Perjanjian Akses 5G.

"Kami berada di landasan yang betul untuk pertumbuhan yang stabil dalam landskap telco yang kompetitif. Tumpuan kami adalah sentiasa untuk pengalaman pelanggan dari segi produk, perkhidmatan, rangkaian dan pendigitalan. Tidak lama lagi, kami akan menawarkan pelan 5G dengan nilai menarik untuk semua segmen," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, hasil pascabayar meningkat, didorong oleh langganan yang lebih tinggi. Kesalinghubungan Kediaman menyaksikan pertumbuhan dua angka lagi dalam suku itu, dengan jumlah sambungan kini melepasi paras 700,000.

Sementara itu, Perniagaan Perusahaan Maxis meneruskan momentum menaiknya dengan mencatat pertumbuhan hasil sebanyak 3.4 peratus tahun ke tahun.

Pada suku berkenaan, Maxis melabur RM166 juta dalam perbelanjaan modal (capex) dengan memberi keutamaan untuk mengekalkan kualiti rangkaian dan menawarkan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggannya.

Untuk tempoh berkenaan, segmen pascabayar mencatat pertumbuhan hasil yang kukuh sebanyak 7.5 peratus kepada RM871 juta, didorong oleh langganan Maxis Pascabayar dan Pascabayar Hotlink yang lebih banyak serta strategi migrasi pra-ke-pasca yang berkesan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2023 @ 7:00 AM