NARATIF ekonomi yang dibentangkan Anwar minggu lalu itu dilihat menetapkan matlamat dan sasaran yang jelas untuk negara.
NARATIF ekonomi yang dibentangkan Anwar minggu lalu itu dilihat menetapkan matlamat dan sasaran yang jelas untuk negara.

Kuala Lumpur: Kerajaan dijangka berupaya untuk membiayai inisiatif di bawah Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat seperti elaun penjawat awam dan kredit e-tunai disokong kemajuan dalam ruang fiskal susulan pertumbuhan ekonomi yang mapan.

MIDF Research dalam nota penyelidikan berkata, naratif ekonomi yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lalu itu dilihat menetapkan matlamat dan sasaran yang jelas untuk negara.

Malah katanya jika dilakukan dengan betul, potensi pertumbuhan Malaysia boleh menjadi lebih tinggi berbanding purata pertumbuhan 4.7 peratus sejak 1998.

"Kami menjangkakan pengumuman rancangan pembangunan lain, termasuk semakan pertengahan penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Belanjawan 2024 akan mengasimilasikan aspirasi dan sasaran yang sama seperti yang digariskan dalam pelan hala tuju Ekonomi Madani," katanya.

Mengulas lanjut, MIDF Research berkata, kerajaan menunjukkan komitmen berterusan untuk mengukuhkan kedudukan fiskal serta kepentingan meningkatkan perkhidmatan awam.

Ia berkata, selain mengulangi komitmen untuk mengurangkan defisit fiskal kepada 3.0 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau lebih rendah dari semasa ke semasa, Ekonomi Madani akan melihat untuk menambah baik pengurusan subsidi termasuk pengenalan skim subsidi bersasar.

"Dari sudut kemampanan fiskal, rasionalisasi subsidi akan meringankan beban fiskal dan paling penting memastikan semua subsidi disalurkan kepada mereka yang memerlukan.

"Walaupun kerajaan akan melaksanakan pembaharuan fiskal yang melihat kepada pengurusan keseluruhan perbelanjaan fiskal, sumber hasil fiskal dan menangani isu menyelubungi pengurusan hutang awam, kerajaan dengan jelas menekankan bahawa keutamaan akan diberikan ke arah menyediakan sokongan dan bantuan yang diperlukan kepada rakyat yang menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup," katanya.

MIDF Research juga menjangkakan banyak lagi butiran lanjut akan diumumkan oleh setiap kementerian memandangkan naratif Ekonomi Madani menyediakan sasaran tinggi.

Ia berkata, buat masa ini kesan terhadap kedudukan fiskal kerajaan tidak dapat diukur sepenuhnya sehingga semua inisiatif didedahkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2023 @ 8:53 AM