Abdul Razak (dua dari kiri) bersama Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad (tiga dari kiri) bersama pengurusan kanan TNB pada Persidangan Peralihan Tenaga 2023. - FOTO NSTP
Abdul Razak (dua dari kiri) bersama Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad (tiga dari kiri) bersama pengurusan kanan TNB pada Persidangan Peralihan Tenaga 2023. - FOTO NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Bhd (TNB) telah memulakan rancangan untuk menyokong aspirasi sifar bersih negara, kata Pengerusinya Datuk Abdul Razak Abdul Majid.

Beliau berkata langkah ini terdiri daripada perancangan bersepadu dari segi penyahkarbonan janaan, membolehkan tenaga boleh baharu (TBB) yang fleksibel, pertukaran grid rentas sempadan dan membolehkan pengelektrikkan merentas sektor dan penyertaan prosumer.

Abdul Razak berkata pihak berkepentingan akan menyaksikan kenaikan kapasiti TBB selain penambahbaikan dalam kecekapan tenaga menerusi teknologi pintar dan digital serta penerimagunaan solar yang meluas menerusi tiga bidang tumpuan strategik ini.

Inisiatif ini turut merangkumi teknologi boleh baharu yang baharu sama ada hidrogen, ammonia atau kemudahan penyimpanan dan kerjasama serantau yang lebih tertumpu kepada pertukaran tenaga hijau.

"Dengan pengalaman lebih 70 tahun dalam industri tenaga, dedikasi kami kepada negara dan masa depan industri kekal teguh.

"TNB mengakui peranan kami dalam rantaian nilai elektrik, dan kami berazam untuk terlibat aktif dalam agenda ini bagi program peralihan tenaga yang bertanggungjawab," katanya ketika berucap pada Persidangan Peralihan Tenaga 2023 di sini hari ini.

Acara ini adalah pertemuan terbesar berhubung peralihan tenaga di rantau ini dan merancang masa depan dalam keadaan transformasi meluas industri bagi mendorong kemajuan terhadap sifar bersih.

Persidangan dua hari yang bermula hari ini menghimpunkan pemimpin tempatan dan antarabangsa, pakar, penggiat industri, pembuat dasar dan masyarakat daripada seluruh rantaian nilai untuk menyediakan penyelesaian dan strategi, menggalakkan perubahan yang signifikan bagi mempercepat peralihan tenaga dengan berkesan serta membentuk kerjasama.

Mengulas selanjutnya, Abdul Razak berkata persidangan itu juga akan menjadi medan untuk perkongsian dan pertukaran perbincangan, pengetahuan dan pengalaman bermakna yang pada akhirnya memberikan inspirasi kepada penyelesaian yang komprehensif dan strategik, sekurang-kurangnya terhadap peralihan tenaga global.

"Perbincangan ini dikategorikan kepada tiga sektor ekonomi - kuasa, pengangkutan, dan bandar -- menggambarkan pendekatan yang dilaksanakan TNB dalam merangka strategi bagi janaan kuasa lebih bersih, rangkaian grid dan bekalan untuk masa depan, bandar mampan dan pengelektrikkan sektor pengangkutan," katanya.

Beliau berkata, selepas Covid-19, perbincangan berkenaan perubahan iklim dan tindakan iklim telah ditingkatkan dengan lebih terperinci dan menjadi keutamaan.

"Kita semua mengalami kesan daripada cuaca ekstrem yang semakin kerap, malah dengan peningkatan situasi yang lebih buruk.

"Kepantasan untuk memudahkan peralihan tenaga yang bertanggungjawab bukan sahaja dipertanggungjawabkan kepada kami, malah memerlukan komitmen bersama daripada semua pihak seperti pembuat dasar, pembekal dan pelanggan," katanya sambil memaklumkan bahawa peralihan tenaga perlu menyahut aspirasi rakyat, bukan membantutkan atau menghalang pertumbuhan dan pembangunan ekonomi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2023 @ 5:17 PM