Hanis Aliaa Hidzir

ORGANISASI sokongan usahawan global, Endeavour baru-baru ini mengumumkan 11 syarikat
untuk program ScaleUp Kohort 4 mereka.

Program ini direka bagi membantu syarikat pemula mencapai potensi penuh serta mengembangkan perniagaan.

Berikut senarai syarikat yang bakal menyertai program ScaleUp Kohort 4 Endeavor:

ReSkills: Platform pembelajaran dalam talian global yang menawarkan pendidikan berorientasikan kerjaya dengan kelayakan mikro yang diperakui.

BioLoop: Sebuah syarikat yang merevolusikan pengurusan sisa organik menggunakan Black Soldier Fly Larva untuk mencipta protein serangga dan baja semula jadi.

Showwcase: Rangkaian profesional yang menghubungkan syarikat dengan bakat pembangun yang sudah ditapis.

PHUTURE: Pelopor protein alternatif terkemuka Malaysia yang menghasilkan penyelesaian berasaskan tumbuhan dan mikoprotein, menyumbang kepada keselamatan makanan, daya tahan iklim dan kesihatan.

Virtualtech Frontier (VTF): Sebuah syarikat barisan hadapan Metaverse dan Teknologi Immersive yang mencipta metaverses boleh diakses dengan platform Codeless Metaverse dan perkhidmatan virtualisasi.

AOne: Syarikat Software-as-a-Service (SaaS) yang memudahkan pengurusan pendidikan dengan mengautomasikan pembayaran dan operasi akademi di seluruh Asia Tenggara.

POMEN: Platform automotif generasi seterusnya yang mengautomasikan operasi selepas jualan B2B, memperkemas dan menambah baik perkhidmatan automotif.

Carching: Syarikat yang meningkatkan pengalaman pemanduan dengan membantu pemandu mendapatkan lebih nilai daripada perjalanan mereka dengan menukar kilometer secara berkesan kepada penjimatan.

TheNoor: Aplikasi gaya hidup Islam dengan lebih enam juta muat turun di seluruh dunia yang sedang dalam misi untuk mengembangkan jangkauan dan perkhidmatannya di seluruh dunia.

Petotum: Platform yang menyediakan perkhidmatan kepada pelbagai pasaran menegak dalam industri haiwan peliharaan bermula dari insurans haiwan peliharaan kepada usaha sama dengan peruncit, bertujuan mengukuhkan seluruh pasaran Malaysia.

ParkIt Malaysia: Sebuah syarikat yang menghubungkan orang ramai dengan tempat letak kereta dan memudahkan urusan meletakkan kereta melalui platform mesra penggunanya.

Semua 11 syarikat ini dipilih berdasarkan tiga kriteria utama iaitu kualiti usahawan, kekuatan perniagaan, dan masa pelaburan.

Usahawan harus memiliki rekod kejayaan yang terbukti, perniagaan yang berskala, dan kedudukan syarikat berada pada tahap yang betul dalam pembangunan mereka untuk mendapat manfaat daripada program ScaleUp Cohort 4.

Sebagai sebahagian daripada program ScaleUp Cohort 4, setiap syarikat terpilih akan menerima sokongan daripada rangkaian pakar dan mentor Endeavour.

Syarikat-syarikat juga akan mendapat akses kepada platform global Endeavour yang memberi mereka peluang berhubung dengan pelabur, rakan kongsi dan sumber lain.

Untuk maklumat lanjut, layari https://www.endeavormalaysia.org/.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2023 @ 12:44 PM