Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli. - FOTO NSTP
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli. - FOTO NSTP
BERNAMA

Putrajaya: Tindakan campur tangan dalam pasaran pertukaran asing adalah perkara biasa dan rutin bagi Bank Negara Malaysia (BNM) yang sentiasa mengikuti perkembangan aliran wang keluar masuk, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Beliau berkata terdapat keperluan untuk BNM memantau pergerakan mata wang berdasarkan beberapa situasi terutamanya jika melibatkan nilai ringgit yang besar.

"Contohnya, ada keadaan yang mana syarikat pengeksport mendapat bayaran dalam dolar tetapi wang itu tidak dibawa ke Malaysia (ditukar) dalam bentuk ringgit. Jika amaun itu besar dan situasi tersebut berterusan, sudah tentu ia memberi kesan kepada ringgit.

"Itu merupakan konteks BNM supaya kita boleh membaca secara terperinci faktor selain daripada faktor global yang mempengaruhi nilai mata wang sekarang," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan BNM mengenai campur tangannya dalam pasaran pertukaran asing.

Penolong Gabenor BNM Adnan Zaylani dalam kenyataan semalam berkata bank pusat Malaysia akan campur tangan dalam pasaran pertukaran asing untuk membendung pergerakan mata wang yang dianggap berlebihan.

Adnan berkata walaupun nilai ringgit akan terus ditentukan oleh pasaran, bank pusat menjangka langkah-langkah yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan untuk terus mengukuhkan ekonomi akan membantu memastikan ringgit mencerminkan asas negara dengan lebih baik.

Mengenai kadar inflasi yang mereda kepada 2.8 peratus pada Mei 2023, Rafizi berkata ia merupakan kadar inflasi terendah jika dibandingkan sembilan bulan lepas iaitu pada September 2022 sebanyak 4.5 peratus.

"Penurunan inflasi bagi Mei 2023 menunjukkan kejatuhan menyeluruh merentasi semua kategori perbelanjaan yang menandakan penstabilan harga secara menyeluruh," katanya.

Rafizi turut optimis trend penurunan kadar inflasi akan kekal selepas ini, dengan mengambil kira unjuran dan data serta keadaan ekonomi makro di peringkat negara dan antarabangsa.

Pada Jumaat lepas, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam kenyataan berkata kadar inflasi Malaysia terus mereda pada Mei 2023 dengan Indeks Harga Pengguna (IHP) turun kepada 2.8 peratus daripada 3.3 peratus pada bulan sebelumnya.

Menurut DOSM, keadaan itu disumbangkan terutamanya oleh penurunan dalam makanan dan minuman bukan alkohol yang mencatat 5.9 peratus (April 2023 : 6.3 peratus); pengangkutan 1.0 peratus (April 2023: 2.3 peratus) serta hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah pada 2.7 peratus (April 2023: 3.0 peratus).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Jun 2023 @ 5:00 PM