PEMBAHARUAN subsidi bagi elektrik adalah cara paling praktikal dan mudah untuk menghapuskan kesan herotan subsidi yang golongan berpendapatan tinggi paling banyak meraih manfaat daripadanya.
PEMBAHARUAN subsidi bagi elektrik adalah cara paling praktikal dan mudah untuk menghapuskan kesan herotan subsidi yang golongan berpendapatan tinggi paling banyak meraih manfaat daripadanya.

SUBSIDI, pada dasarnya, adalah penyelarasan jangka pendek dan perlu dimansuhkan secara berperingkat kerana ia boleh memberi kesan kepada harga sekiranya terus dilaksanakan bagi satu tempoh yang berpanjangan.

Profesor ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia Geoffrey Williams berkata, pembaharuan subsidi bagi elektrik adalah cara paling praktikal dan mudah untuk menghapuskan kesan herotan subsidi yang golongan berpendapatan tinggi paling banyak meraih manfaat daripadanya.

"Elektrik bermeter, jadi kami boleh mengenal pasti pengguna tertinggi dalam kumpulan T20 (20 peratus teratas daripada pendapatan isi rumah) dengan mudah. Menghapuskan subsidi kepada mereka yan g menggunakan lebih daripada 600 kWj sebulan boleh menjimatkan RM1.96 bilion dan hanya akan menjejaskan 11 peratus isi rumah," katanya kepada Bernama.

Pada 23 Jun, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim mengumumkan bahawa 1.0 peratus pengguna elektrik teratas di negara ini akan membayar tarif yang lebih tinggi antara Julai dan Disember tahun ini. Di bawah mekanisme pelepasan kos tidak seimbang baharu, kira-kira 83,000 pengguna akan membayar sekurang-kurangnya RM187 lebih sebulan.

Sementara itu, Williams berkata pemotongan subsidi bahan api boleh dicapai dengan cara yang sama seperti pemotongan subsidi elektrik – dengan mengenakan harga penuh tanpa subsidi kepada pengguna tinggi dan harga bersubsidi rendah kepada pengguna rendah.

"Ini kebanyakannya merangkumi kumpulan T20 dan B40 (40 peratus terendah daripada pendapatan isi rumah). Menghapuskan subsidi untuk pengguna tinggi sahaja akan menjimatkan berpuluh bilion (ringgit). Teknologi ini boleh dicapai di tempat jualan di stesyen minyak. Orang tengahlah yang membantah perkara ini kerana mereka kerugian dari segi pembayaran," katanya.

Williams menegaskan bahawa rakyat Malaysia perlu memahami isu ekonomi dan bahawa orang tengah serta kumpulan berpendapatan tinggilah yang paling mendapat manfaat daripada subsidi.

"Subsidi juga mengganggu pasaran dalam jangka panjang jadi kita memerlukan pembaharuan sekarang," katanya.

Sementara itu, Ketua Ekonomi dan Ketua Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata subsidi, pada dasarnya, adalah penyelarasan sementara dan perlu dimansuhkan selepas semuanya stabil.

Dalam kes Malaysia, katanya subsidi telah menjadi ciri kekal, yang menjadikan tugas untuk memansuhkannya amat mencabar.

"Subsidi akan menjejaskan harga pasaran. Ia boleh mengakibatkan penggunaan yang berlebihan dan kurangnya insentif kepada pengeluar untuk menghasilkan lebih daripada itu.

"Ini akan mewujudkan ketidakseimbangan dalam ekonomi yang akan menghalang pelaburan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran ekonomi," kata Mohd Afzanizam.

Beliau berkata, untuk menghapuskannya, kerajaan memerlukan strategi termasuk memastikan pemberhentian itu dibuat secara beransur-ansur dan mengikut tempoh masa yang ketat.

Beliau berkata penjimatan daripada subsidi itu perlu disalurkan kembali kepada pihak yang sepatutnya dengan kaedah pantas kerana penghapusan subsidi adalah inflasi.

Mohd Afzanizam berkata terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang berhasrat untuk mengambil kesempatan daripada situasi ini, dan penguatkuasaan undang-undang serta pendakwaan yang cukup tegas diperlukan untuk mengurangkan sebarang kesilapan.

Beliau berkata isu-isu seperti manipulasi harga, perbuatan menyorokkan dan kartel perlu dihapuskan sepenuhnya menerusi penguatkuasaan tegas dalam undang-undang berkaitan. Dengan cara itu, penetapan harga pasaran akan adil dan telus.

"Pangkalan data bagi mereka yang layak menerima bantuan kewangan mudah tersedia.

"Pelaburan dalam pembinaan kapasiti juga perlu dipercepat terutamanya dalam bidang berkaitan pendidikan, penjagaan kesihatan dan infrastruktur. Ini adalah pelaburan jangka panjang, dan bagi menikmati manfaat ini, pelaburan tersebut perlu dilaksanakan tepat pada masanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Jun 2023 @ 7:00 AM