Mahaizura Abd Malik dan Dayang Pretty Abbyana Datu Asis

Kuala Lumpur: Kerajaan bersetuju mengurangkan kadar duti setem bagi saham yang didagangkan di Sekuriti Bursa Malaysia daripada 0.15 peratus kepada 0.1 peratus daripada nilai kontrak berkuatkuasa Julai ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perubahan kadar itu tertakluk kepada had maksimum RM1,000 untuk setiap kontrak.

"Perubahan ini secara langsung akan mengurangkan kos transaksi sekuriti dan menjadikan pasaran saham Malaysia lebih kompetitif dan berdaya saing.

"Saya yakin, langkah ini akan merangsang pasaran dan meningkatkan daya tarikannya," katanya pada Majlis Pelancaran Program Bakat Pasaran Modal Untuk Graduan (invesTED) di Suruhanjaya Sekuriti (SC) di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Khaled Nordin serta Pengerusi SC Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, peningkatan kecairan pasaran akan menarik lebih banyak dana domestik dan asing ke dalam pasaran saham Malaysia sekali gus menggalakkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk meneruskan tawaran awam permulaan (IPO).

"Ia juga memudahkan syarikat tersenarai awam mengumpul dana untuk mengembangkan perniagaan, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan," katanya.

Kata beliau, SC dan Bursa Malaysia akan melaksanakan pembaharuan tahun ini bagi menggalakkan lebih banyak syarikat disenaraikan dalam bursa.

"Ini bagi menjadi syarikat lebih mudah dan cepat disenaraikan di Bursa Malaysia dan mengurangkan masa ke pasaran serta dalam memastikan Malaysia menjadi pasaran berdaya tinggi," katanya.

GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2023 @ 2:24 PM