Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Sufian Abdullah.
Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Sufian Abdullah.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Anak syarikat milik penuh UEM Sunrise Bhd, Sunrise Innovations Sdn Bhd, telah memeterai perjanjian jual beli dengan Kwasa Properties Sdn Bhd, anak syarikat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), untuk membeli tanah pegangan kekal seluas 3.7 hektar di Kelana Jaya dengan harga RM155 juta.

UEM Sunrise berkata ia merancang untuk membangunkan pembangunan bercampur di atas tanah itu, terletak di kawasan kejiranan yang telah membangun di SS6 Kelana Jaya dan bersebelahan dengan Lebuhraya Damansara-Puchong, menampilkan komponen kediaman dan runcit, yang dikategorikan dalam Siri NEST di bawah siri produk Happy+ UEM Sunrise.

Pembangunan itu dianggarkan mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.1 bilion dan disasarkan akan dilancarkan pada 2025.

"Kami mempunyai rancangan menarik dalam usaha untuk pembangunan akan datang ini yang akan memfokuskan kehidupan pelbagai lapisan generasi.

"Ia akan direka bentuk dengan menampilkan kesinambungan masa depan, memenuhi evolusi kekeluargaan, menawarkan persekitaran yang selamat, dilengkapi dengan taman-taman yang direka dengan baik bersama kemudahan rekreasi," kata Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Sufian Abdullah.

Beliau juga berkata penjualan tanah utama KWSP kepada UEM Sunrise adalah sejajar dengan strategi syarikat untuk mengekalkan pembangunan mampan sebagai pemaju hartanah yang terkenal, terbukti dengan rekod prestasinya yang baik.

Dengan pembelian terbaharu ini, jumlah simpanan tanah UEM Sunrise di kawasan Greater Kuala Lumpur berjumlah kira-kira 175 hektar dengan anggaran jumlah GDV sebanyak RM29.5 bilion, memberikan syarikat pertumbuhan yang berdaya tahan dan mampan dalam jangka panjang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2023 @ 11:23 AM