GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kekal untung selepas mencatatkan keuntungan bersih RM58.19 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2023 (S1 TK2023), berbanding kerugian RM104.76 juta pada suku yang sama sebelumnya.

Ini selepas pengendali lapangan terbang itu kembali memperoleh keuntungan pada S4 TK2022, menamatkan kerugian pada 11 suku berturut-turut sebelum ini.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, MAHB berkata hasilnya meningkat kepada RM1.03 bilion pada suku dalam tinjauan, berbanding RM570.85 juta tahun lepas, peningkatan sebanyak 81.2 peratus.

"Kumpulan mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM63.3 juta pada suku semasa dalam tinjauan didorong oleh hasil lebih tinggi, pendapatan lain dan kos kewangan yang lebih rendah bagi tempoh tersebut.

"Peningkatan hasil ini adalah sejajar dengan pertambahan ketara jumlah penumpang bagi kumpulan, didorong oleh protokol perjalanan yang dilonggarkan lagi dan penyambungan semula perkhidmatan penerbangan dan ketersambungan dengan pemulihan trafik yang menyaksikan jumlah trafik sebanyak 26.8 juta penumpang berbanding 14.7 juta penumpang pada suku yang sama tahun sebelumnya," katanya.

Secara keseluruhannya, MAHB berkata operasi di Malaysia telah mencatatkan peningkatan ketara dalam hasil sebanyak 131.5 peratus daripada RM273.1 juta kepada RM632.2 juta.

Mengenai prospek, MAHB berkata rangkaian trafik lapangan terbangnya terus menunjukkan pemulihan, dengan pergerakan penumpang suku pertama TK2023 menghampiri paras prapandemik, mencapai 80.2 peratus daripada paras suku pertama TK2019 dan mencatatkan 26.8 juta pergerakan penumpang, pertumbuhan sebanyak empat peratus berbanding S4 TK2022.

"Melangkah ke hadapan, memandangkan sekatan perjalanan terutamanya di wilayah seperti China, Jepun, dan Korea Selatan yang semakin dilonggarkan, dijangkakan 2023 akan mencapai pemulihan kira-kira 80-90 peratus daripada tahap prapandemik. Itupun jika tidak berlakunya keadaan diluar jangkaan.

"Namun begitu, cabaran dan ketidaktentuan terus kekal disebabkan ketidaktentuan geopolitik, kenaikan harga bahan api pesawat, prospek ekonomi makro tempatan dan global," katanya.

MAHB menambah tiada dividen dibayar atau diisytiharkan pada suku semasa dan pada tempoh kewangan dalam kajian sehingga kini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mei 2023 @ 11:41 AM