GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Malaysia merupakan antara negara terbaik bagi industri kenderaan elektrik (EV) kerana ia mempunyai kepakaran yang sesuai untuk pelaburan dan eksport, kata Persatuan Kenderaan Elektrik Malaysia (EVAM).

Presiden Datuk Dennis Chuah berkata Malaysia mempunyai infrastruktur, kumpulan tenaga kerja, kemahiran dan teknologi inovatif yang tepat untuk menyokong industri EV dan memenuhi keperluan rantaian nilai global di Asia Tenggara dan melangkauinya.

"Sudah ada segelintir syarikat Malaysia yang mengeksport komponen kepada pengeluar EV.

"Syarikat automotif tempatan telah mengumumkan rancangan untuk EV pertama mereka dan kami melihat lebih ramai pemain automotif asing memasuki ke Malaysia," katanya pada sidang media E-Mobility Asia di sini hari ini.

Chuah berkata kerajaan telah menyediakan insentif untuk meningkatkan penggunaan EV melalui pengecualian cukai dan pemasangan 10,000 unit pengecasan EV menjelang 2025.

"Walaupun secara asasnya EV di Malaysia pada masa ini adalah rendah iaitu kurang daripada satu peratus pemilikan kereta, berita baiknya ialah permintaan semakin meningkat.

"Ini menunjukkan penggunaan EV bersedia untuk pengembangan kerana pengguna berusaha lebih sedar untuk menjadi mesra alam dan mereka melihat terdapat pilihan di hadapan mereka dan kerja-kerja infrastruktur sedang dijalankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2023 @ 4:31 PM