FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) dalam usaha untuk memperkenalkan semula skim pembiayaan yang menawarkan kadar keuntungan sifar peratus berserta moratorium dengan keutamaan diberi kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, Kuskop sentiasa komited membantu dan lebih responsif dalam usaha membantu usahawan terutama mereka yang masih lagi terkesan dengan pandemik dan terbaru kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

Katanya, setakat ini Kuskop belum menerima sebarang aduan daripada PMKS berhubung kenaikan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus baru-baru ini.

"Pembiayaan tanpa faedah dan moratorium adalah antara pandangan lain yang sedang kita teliti dan proses libat urus secara lebih teliti dengan kementerian lain. giat dijalankan.

"Tetapi kita harus akui ini adalah antara cadangan yang sudah disampaikan kepada Kuskop sama ada di Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta usahawan sendiri ketika hari bertemu pelanggan saya bersama usahawan.

"Menjadi tanggungjawab saya dan kementerian untuk meneliti cadangan ini dan membawanya ke kabinet.

"Kami juga harus mengambil kira persekitaran ekonomi di mana sudah tentu cadangan ini antara yang sudah diterima dan kita akan bawa ke platform bersesuaian seperti Majlis Pembangunan Keusahawanan kerana agensi perlu mendapatkan ulasan daripada kementerian lain seperti Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan dan beberapa kementerian lain sebelum keputusan dibuat.

"Kami akan mengangkat perkara ini melalui proses libat urus dalam semakan pertengahan penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) supaya pandangan semua pihak diambil kira," katanya kepada media di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilftri Kuskop dan Agensi 2023 di sini, semalam.

Beliau berkata, Kementerian Ekonomi juga kini sedang melaksanakan libat urus dengan semua pemegang taruh termasuk Kuskop.

"Ini antara pandangan yang akan dilontarkan kepada rakan saya Rafizi Ramli dan kalau semua pihak bersetuju mungkin pada skim pembiayaan tertentu kita boleh wujudkan semula pembiayaan tanpa faedah dan moratorium.

"Namun agensi di bawah Kuskop juga perlu menyediakan pembayaran semula supaya skim pembiayaan baru dapat disediakan kepada usahawan," katanya.

Menurutnya, Kuskop turut meneliti pandangan yang disampaikan secara terbuka oleh banyak pihak termasuk golongan usahawan dan percaya pihak bank hanya akan menguatkuasakan kenaikan OPR pada bulan depan.

"Sememangnya kita harus akui masih ramai PMKS yang terkesan akibat pandemik Covid-19, perintah kawalan pergerakan (PKP) dan pelbagai faktor lain yang menyebabkan mereka ini masih dalam pemulihan.

"Mereka ini sudah datang ke agensi di bawah Kuskop untuk mendapatkan perkhidmatan latihan serta pembiayaan bersesuaian termasuk penstrukturan dan penangguhan pinjaman.

"Kementerian melalui agensi kami sentiasa terbuka dan membantu termasuk mereka yang terkesan dengan bencana banjir, baru-baru ini.

"Kami sudah bersetuju dasar sebelum ini diteruskan seperti memohon penangguhan pembayaran sekurang-kurangnya enam bulan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2023 @ 8:02 AM