Mahaizura Abd Malik

Kuala lumpur: Pengarah Urusan Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim menerima pengiktirafan menerusi Anugerah Personaliti Pelancongan dan Hospitaliti Terbaik Malaysia 2023-2024, semalam.

Pengiktirafan berkenaan atas peranan dan sumbangan beliau yang memberi impak secara signifikan terhadap kemajuan dan kejayaan industri hospitaliti dan pelancongan di Malaysia dan di peringkat dunia.

Protem Presiden Majlis Acara Perniagaan Malaysia (BECM) itu juga diiktiraf atas usaha berterusan beliau memperjuangkan ekonomi Acara Perniagaan di peringkat domestik dan antarabangsa sebagai Pengerusi Pameran dan Persidangan (C&E) Majlis Anggota Penasihat (MAC) World Trade Centers Association (WTCA) yang berpusat di New York, Amerika Syarikat.

WTCKL dalam kenyataan berkata, pencapaian diraih Irmohizam itu akan membawa WTCKL ke tahap yang lebih tinggi.

"Motivasi Dr Irmohizam dalam menerapkan teknologi dan inovasi membolehkan WTCKL berkembang lebih jauh dan mempercepatkan pertumbuhan dalam Acara Perniagaan (BE) dan industri Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE) terutama dalam mempromosikan elemen pelancongan mesra Muslim dalam industri ini.

"Secara tidak langsung membolehkan Malaysia terus kekal dikenali sebagai salah satu hab pelancongan di peringkat antarabangsa," katanya.

Anugerah di bawah kategori Anugerah Hospitaliti & Pelancongan – Kepimpinan Berimpak Positif pada Majlis HAPA® Awards Malaysia Series 2023 - 2024 itu disampaikan Pengasas HAPA®, Jennifer Ong di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor, malam tadi.

Pengiktirafan ini meletakkan beliau sebaris dengan nama besar dalam industri yang turut menerima anugerah pada malam tadi antaranya Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia International Trade and Exhibition Centre, Mala Dorasamy dan Pengurus Besar Sama-Sama Hotel Kuala Lumpur, Sundra Kulendra.

Irmohizam menerajui WTCKL pada tahun 2018 sebelum mengetuai latihan penjenamaan semula berskala besar yang menggabungkan Garis Panduan Jenama Standard WTCA pada 2019.

Hasilnya, WTCKL berubah apabila dilengkapi dengan dewan yang dinaik taraf dan pelbagai pengubahsuaian dengan kemudahan tambahan seperti Co-Work @ WTCKL.

Untuk rekod, Anugerah HAPA® bertujuan mengiktiraf dan memberi ganjaran kepada pertubuhan cemerlang dan individu yang memberikan komitmen, dorongan dan semangat untuk kecemerlangan dalam bidang hospitaliti.

Dikenali sebagai Oscars of Hospitality, Anugerah HAPA® direka untuk menetapkan penanda aras par kecemerlangan, membawa kualiti menyeluruh dan standard perkhidmatan hospitaliti Asia ke tahap yang lebih tinggi.

HAPA® berdiri megah hari ini sebagai program Anugerah yang bukan saja mengiktiraf perkhidmatan cemerlang tetapi juga berfungsi untuk mencungkil bakat dan pertubuhan baharu serta meraikan wira yang tidak didendang dalam industri.

HAPA® bermatlamat untuk meningkatkan kualiti keseluruhan dan standard perkhidmatan hospitaliti Asia serta memberi inspirasi kepada kecemerlangan melalui pengiktirafan prestasi terbaik dalam industri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mei 2023 @ 4:03 PM