MENARA Tabung Haji, Jalan Tun Razak. FOTO Saddam Yusoff
MENARA Tabung Haji, Jalan Tun Razak. FOTO Saddam Yusoff
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pembukaan semula sempadan negara selepas keadaan Covid-19 terkawal adalah antara faktor kenaikan jumlah keuntungan Lembaga Tabung Haji (TH) daripada RM2.46 bilion pada 2021 kepada RM2.65 bilion pada 2022.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) Dr Muhammad Iqmal Hisham Kamaruddin berkata, pembukaan sempadan itu membolehkan kegiatan ekonomi negara kembali rancak termasuk aktiviti perniagaan dan pelaburan TH.

Menurut Muhammad Iqmal Hisham, faktor lain yang mendorong kepada peningkatan keuntungan sebanyak tujuh peratus itu termasuk penanggungan kos operasi haji pada 2022 yang lebih rendah berikutan jumlah kuota haji pada tahun itu adalah sekitar 15,000 orang.

"Walaupun tujuan asal penubuhan TH adalah untuk menyediakan medium tabungan dan pengurusan haji, masyarakat Islam di sini mempunyai kepercayaan bahawa TH juga satu platform bagi mereka untuk melabur dan mendapatkan pulangan yang kompetitif," katanya kepada Bernama.

Katanya, kadar agihan keuntungan sebanyak 3.1 peratus ditawarkan TH pada 2022 juga adalah kompetitif dan lebih baik berbanding pulangan dividen simpanan di bank-bank Islam pada purata 2.34 peratus.

Muhammad Iqmal Hisham juga mencadangkan supaya TH lebih giat meneroka pelbagai peluang perniagaan dalam sektor lebih mampan dan berdaya saing yang boleh memberikan pulangan baik.

"Untuk mencapai hal ini, pengurusan TH perlu mempunyai kepakaran dalam pelaburan dan perniagaan. Hala tuju dan peranan TH juga perlu lebih meluas dengan membantu mengembangkan ekonomi ummah daripada hanya bertumpu semata-mata kepada urusan ibadah haji," katanya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar mengumumkan agihan keuntungan TH pada 3.1 peratus selepas zakat bagi tahun kewangan 2022.

Beliau berkata, agihan keuntungan berkenaan membabitkan jumlah sebanyak RM2.65 bilion dan akan memberi manfaat kepada lebih 8.7 juta pendeposit TH.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 April 2023 @ 2:02 PM