Mohd Uzir Mahidin
Mohd Uzir Mahidin

Kuala Lumpur: Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia bagi Mac 2023 mereda kepada 3.4 peratus dengan mata indeks mencatatkan 129.9 berbanding 125.6 pada bulan yang sama 2021, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan perlahan inflasi Malaysia pada Mac 2023 didorong terutama oleh penurunan harga petrol tanpa plumbum RON97 yang meredakan inflasi kumpulan pengangkutan kepada 2.4 peratus.

"Ini selari dengan harga minyak mentah Brent yang berada pada paras AS$78.53 setong pada Mac 2023 berbanding AS$115.59 pada Mac 2022.

"Namun begitu, inflasi bagi makanan dan minuman bukan alkohol iaitu pada 6.9 peratus serta restoran dan hotel pada 7.2 peratus masih kekal tinggi meskipun lebih rendah berbanding Februari 2023," katanya dalam kenyataan mengenai Indeks Harga Pengguna, Malaysia Mac 2023 yang dikeluarkan semalam.

Menurut DOSM, nilai wajaran bagi kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol (29.5 peratus); pengangkutan (14.6 peratus) serta restoran dan hotel (2.9 peratus) merangkumi 47.0 peratus daripada jumlah wajaran keseluruhan IHP, yang akan memberi kesan signifikan pada kadar inflasi dan kos sara hidup rakyat.

Selain itu, kenaikan inflasi di Malaysia pada Mac 2023 turut didorong oleh kumpulan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (3.1 peratus); kesihatan (2.2 peratus) dan pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.1 peratus), tambah jabatan itu.

Ini diikuti oleh kumpulan perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (1.9 peratus); pendidikan (1.7 peratus); perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (1.6 peratus); minuman alkohol dan tembakau (0.6 peratus) dan pakaian dan kasut (0.5 peratus), jelas DOSM.

DOSM menjelaskan kumpulan komunikasi merekodkan negatif 1.4 peratus.

Mohd Uzir berkata inflasi kumpulan restoran dan hotel mencatatkan peningkatan perlahan sebanyak 7.2 peratus pada Mac 2023 berbanding 7.4 peratus yang direkodkan pada Februari 2023.

Beliau berkata peningkatan dalam subkumpulan perkhidmatan penginapan adalah sebanyak 7.7 peratus (Februari 2023: 7.8 peratus) serta perbelanjaan di restoran dan kafe sebanyak 7.0 peratus berbanding 7.3 peratus pada Februari 2023 merupakan faktor utama kenaikan sederhana kumpulan ini.

Kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol yang menyumbang 29.5 peratus kepada IHP keseluruhan mencatatkan peningkatan yang perlahan kepada 6.9 peratus (Februari 2023: 7.0 peratus), katanya.

"Daripada 230 item makanan dan minuman, sebanyak 201 item atau 87.4 peratus telah merekodkan kenaikan harga berbanding pada Mac 2022," katanya.

Menurut DOSM, IHP bagi suku pertama 2023 meningkat 3.6 peratus berbanding suku yang sama tahun sebelumnya.

Bagi perbandingan suku tahunan pula, IHP meningkat 0.6 peratus pada kadar yang sama dicatatkan pada suku keempat 2022.

Inflasi teras, yang mengukur perubahan harga barang dan perkhidmatan yang tidak termasuk item makanan segar yang tidak menentu dari segi harga serta barang dan perkhidmatan yang tertakluk dengan kawalan harga dari kerajaan, masih kekal tinggi pada kadar 3.8 peratus berbanding 3.9 peratus pada Februari 2023.

Kenaikan ini didorong terutama oleh kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol yang mencatatkan 7.5 peratus. Selain itu, kumpulan restoran dan hotel turut mencatatkan kenaikan 7.2 peratus diikuti pengangkutan pada 5.7 peratus.

DOSM memaklumkan inflasi keseluruhan secara bulanan pada Mac 2023 meningkat marginal kepada 0.1 peratus berbanding Februari 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 April 2023 @ 11:04 AM