PLUS Malaysia Berhad (PLUS) muncul sebagai syarikat lebuh raya pertama memenangi Anugerah Sektor Awam bagi Majlis Anugerah Persatuan Komunikasi Perhubungan Awam (PRCA) APAC 2023 yang diadakan di Singapura. FOTO ihsan Pembaca
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) muncul sebagai syarikat lebuh raya pertama memenangi Anugerah Sektor Awam bagi Majlis Anugerah Persatuan Komunikasi Perhubungan Awam (PRCA) APAC 2023 yang diadakan di Singapura. FOTO ihsan Pembaca
Noor Hidayah Tanzizi


Singapura: Plus Malaysia Berhad (Plus) muncul sebagai syarikat lebuh raya pertama memenangi Anugerah Sektor Awam bagi Majlis Anugerah Persatuan Komunikasi Perhubungan Awam (PRCA) Apac 2023 yang diadakan di Singapura.

Ketua Komunikasi Korporat Plus Syed Mohammed Idid berkata, kemenangan itu adalah tuah bagi pihaknya kerana bersaing dengan jenama hebat seperti Pasukan Polis Hong Kong, Yayasan Maritim Singapura dan Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Hong Kong.

"Menjadi pemenang kali pertama, penghargaan ini adalah satu penghormatan kepada kerja keras 3, 800 warga Plus sepanjang tahun lalu.

"Ia adalah testimoni cemerlang bahawa industri lebuh raya komunikasi boleh menjadi serancak dan sekuat yang lain," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Ketua PRCA APAC Tara Munis berkata, majlis anugerah berkenaan adalah peluang untuk mempamerkan kemahiran perhubungan awam (PR) dan komunikasi terbaik sepanjang tahun lalu.

"Semua finalis sudah menyampaikan kerja yang cemerlang dan pemenang mewakili yang terbaik dalam industri kami," katanya.

Majlis berkenaan menyaksikan lebih 40 perunding perhubungan awam berpangkalan di Asia Pasifik serta korporat terkenal dari China, Hong Kong, Singapura, Indonesia Filipina, India, Australia dan Malaysia.

PRCA ditubuhkan pada 1969 dan bahagian Asia Pasifik dilancarkan pada 2021.

Matlamat persatuan ini adalah untuk meningkatkan standard dalam PR dan komunikasi, menyediakan data industri kepada ahli, memudahkan perkongsian amalan terbaik komunikasi dan mewujudkan peluang rangkaian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2023 @ 9:29 AM