DR Mohd Uzir.
DR Mohd Uzir.

INDEKS Harga Pengguna (IHP) Malaysia bagi Februari 2023 menyaksikan kenaikan inflasi di Malaysia kekal didorong oleh restoran dan hotel (7.4 peratus) dan makanan dan minuman bukan alkohol (7.0 peratus).

Kadar inflasi kekal pada 129.8 atau 3.7 peratus, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

Dalam kenyataan semalam, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan lebih perlahan dicatatkan bagi kumpulan pengangkutan iaitu 3.7 peratus berbanding Januari 2023 (4.0 peratus) sedikit sebanyak telah mengimbangi inflasi daripada terus meningkat.

"Selain itu, kenaikan inflasi di Malaysia turut didorong oleh kenaikan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (3.4 peratus); pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.5 peratus) dan kesihatan (1.8 peratus)," katanya.

Perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain serta perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan masing-masing merekodkan peningkatan 1.7 peratus, manakala pendidikan mengembang 1.6 peratus, kedua-dua minuman alkohol dan tembakau serta pakaian dan kasut, masing-masing meningkat sebanyak 0.8 peratus dan 0.4 peratus berbanding Februari 2022.

Mohd Uzir Mahidin turut menambah kumpulan makanan dan minuman bukan alkhohol yang menyumbang 29.5 peratus daripada keseluruhan Indeks Harga Pengguna (IHP) merekodkan peningkatan 7.0 peratus (Januari 2023: 6.7 peratus).

Daripada 230 item makanan, sebanyak 203 item atau 88.3 peratus telah merekodkan kenaikan harga, katanya.

Beliau berkata komponen makanan di rumah yang menyumbang hampir 58 peratus daripada keseluruhan kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol mencatatkan peningkatan lebih tinggi kepada 5.8 peratus berbanding 5.1 peratus pada Januari 2023.

Namun begitu, komponen makanan di luar rumah telah mencatatkan kenaikan yang lebih rendah 8.9 peratus berbanding Januari 2023 (9.3 peratus), tambahnya.

"Antara makanan di luar rumah yang mencatatkan peningkatan lebih perlahan adalah sate iaitu 9.9 peratus, nasi campur, 9.1 peratus; nasi ayam, 7.8 peratus dan masakan berasaskan daging, 7.3 peratus.

Beliau seterusnya berkata, untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat dan meredakan inflasi makanan di luar rumah, kerajaan telah memperkenalkan inisiatif Menu Rahmah, Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mac 2023 @ 6:10 AM