Ketua Pegawai Eksekutif InvestKL, Datuk Muhammad Azmi Zulkifli. - FOTO NSTP
Ketua Pegawai Eksekutif InvestKL, Datuk Muhammad Azmi Zulkifli. - FOTO NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: InvestKL menyasarkan untuk mendapatkan lebih daripada RM2 bilion pelaburan berimpak tinggi dan bernilai tinggi pada 2023 khususnya dalam ekonomi digital, idea dan inovasi serta pusat kecemerlangan serantau yang membawa kepada penciptaan 1,500 pekerjaan mahir.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Muhammad Azmi Zulkifli berkata agensi itu akan mencari pelabur yang seiring dengan agenda kemampanan Malaysia.

"RM2 bilion adalah sasaran awal dan ini masih dibincangkan dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) tetapi kami yakin sasaran itu akan jauh lebih tinggi daripada RM2 bilion yang dikongsi sebelum ini," katanya pada majlis anugerah dan perkembangan terkini prestasi InvestKL 2022 di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pelaburan) MITI Datuk Bahria Mohd Tamil dan Pengerusi InvestKL Datuk Seri Michael Yam.

InvestKL ialah agensi penggalakan pelaburan untuk Greater Kuala Lumpur di bawah MITI.

Muhammad Azmi berkata pelaburan itu terdiri daripada syarikat di tiga wilayah utama, iaitu Amerika, Eropah dan Asia.

"Aktiviti pelaburan berkenaan agak serupa daripada segi trend dalam tempoh dua tahun lepas...memfokuskan kepada ekonomi digital. Banyak syarikat asing juga melihat untuk memusatkan dan menjamin rantaian bekalan mereka serta inovasi produk dan perkhidmatan," katanya.

Pada 2022, agensi itu memperoleh pelaburan bernilai RM2.79 bilion, peningkatan 13 peratus daripada RM2.46 bilion pada 2021 dengan mewujudkan 2,805 jawatan eksekutif berkemahiran tinggi melalui penubuhan 13 hab perkhidmatan global termasuk Abbott, Baxter, Estee Lauder, Tupperware serta The Arnott's Group.

InvestKL juga telah menetapkan sasaran untuk menarik pelaburan komited sebanyak RM35 bilion menjelang 2030, setakat tahun 2023 agensi itu telah mencapai 60 peratus daripada sasaran itu.

Muhammad Azmi berkata InvestKL juga bekerjasama dengan syarikat global terkemuka dan rakan kongsi strategik dalam program nilai tambah yang akan menyokong perniagaan yang bertanggungjawab dan perkongsian amalan terbaik untuk mempercepatkan agenda hijau Malaysia sejajar dengan Aspirasi Pelaburan Negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2023 @ 3:27 PM