GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Gaji permulaan rendah bagi mereka yang memulakan kerjaya sebelum gaji minimum dilaksanakan pada 2013, antara beberapa faktor menyumbang kepada jumlah simpanan rendah bagi, kumpulan berumur 40 hingga 54 tahun yang mempunyai baki kurang RM10,000.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam kenyataan di sini, baru-baru ini, memaklumkan, selain itu faktor lain yang turut menyumbang kepada perkara itu ialah cabaran struktur gaji, dengan 44 peratus penyumbang KWSP mempunyai pendapatan kurang dari RM2,000 dan 81 peratus mempunyai pendapatan kurang dari RM5,000.

"Caruman yang tidak konsisten disebabkan oleh ahli yang beralih keluar dan masuk dari sektor formal, di mana hanya 45 peratus daripada 4.81 juta ahli dalam kumpulan umur ini, sudah membuat caruman pada 2022, manakala selebihnya tidak membuat sebarang caruman pada tahun lepas.

"Hanya separuh daripada tenaga kerja sektor swasta yang berada di bawah kontrak pekerjaan formal, diwajibkan untuk membuat caruman kepada KWSP. Tenaga kerja selebihnya terdiri daripada individu dalam sektor lain seperti pertanian, pekerjaan tidak formal, pekerja kontrak atau pemilik perniagaan," menurut kenyataan itu.

Selain itu KWSP memaklumkan, sebanyak 2.85 juta atau 59 peratus daripada ahli daripada kumpulan umur berkenaan, memohon lebih daripada satu kali pengeluaran berkaitan Covid-19 dan mengeluarkan sebanyak RM62 bilion, seterusnya mengurangkan lagi jumlah simpanan mereka.

Sehingga akhir Disember 2022, terdapat seramai 4.81 juta ahli KWSP dalam lingkungan umur 40 hingga 54 tahun, dengan 2.17 juta daripadanya ahli aktif dan 2.64 juta ahli tidak aktif (didefinisikan sebagai tidak membuat sebarang caruman dalam setahun lepas).

KWSP dalam pada itu menyambut baik inisiatif sumbangan one-off sebanyak RM500 oleh kerajaan kepada ahli aktif dan juga tidak aktif, sebagai langkah untuk meningkatkan simpanan persaraan ahli.

"Insentif berkenaan akan menjadi pemangkin kepada pembinaan semula simpanan ahli, untuk mencapai persaraan yang lebih selesa dan seterusnya membantu mengurangkan kesan berikutan perkembangan pesat populasi menua Malaysia," menurut kenyataan itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 pada 24 Februari berkata, kerajaan bersetuju untuk menambah RM500 caruman simpanan KWSP akaun 1 bagi ahli berumur 40 hingga 54 tahun, yang miliki simpanan kurang RM10,000.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2023 @ 11:07 AM