Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan Amazon Web Services (AWS) hanya memuktamadkan pelaburan bernilai RM25.5 bilion di negara ini, selepas pihaknya mengambil alih kerajaan.

Katanya, perkara itu dinyatakan oleh syarikat gergasi dari Amerika Syarikat itu kepadanya.

"Ini benar, rundingan dimulakan sejak 2019 dan diteruskan di bawah kerajaan pentadbiran berikutnya. Dua perdana menteri berikutnya.

"Tetapi Amazon memang menangguhkan keputusan. Keputusan muktamad hanya selepas Kerajaan Perpaduan. Ini memang kenyataan sahih daripada mereka," katanya ketika pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) yang secara sinis menyatakan bahawa rundingan pelaburan itu bermula pada 2019.

Anwar menambah, keputusan AWS membuat pelaburan di Malaysia kerana syarikat itu percaya kepada politik stabil dan dasar yang jelas oleh Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata, pelaburan itu juga memberi impak tinggi kerana menambah keyakinan untuk kemasukan pelabur-pelabur asing baharu dari barat dan timur ke dalam negara.

"Tetapi khusus dalam konteks perundingan ini sejak Disember 2019, dan diteruskan. AWS menunggu sehingga mereka percaya kepada satu pentadbiran politik yang stabil, dasar dan arahan yang jelas.

"Ini yang akhirnya menyebabkan mereka menghubungi kami (Kerajaan Perpaduan) dan menyatakan kerana politik yang stabil dan dasar ekonomi yang jelas menyebabkan AWS memilih Malaysia sebagai pangkalan mereka," katanya.

ANWAR ketika sesi jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, semalam.
ANWAR ketika sesi jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2023 @ 6:00 AM