OPERASI KPJ Healthcare di pasaran Indonesia tamat sepenuhnya sebagai pemilik dan pengendali hospital.
OPERASI KPJ Healthcare di pasaran Indonesia tamat sepenuhnya sebagai pemilik dan pengendali hospital.

Kuala Lumpur: KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) melalui anak syarikatnya, Crossborder Aim (M) Sdn Bhd (CAMSB) dan Crossborder Hall (M) Sdn Bhd (CHMSB) memeterai Perjanjian Jualan Saham (SSA) dengan PT Nusautama Medicalindo (PTNM) untuk pelupusan operasi hospital Rumah Sakit Medika BSD (RSMBSD) di Indonesia.

Cadangan Pelupusan itu membabitkan penjualan 75 peratus kepentingan kumpulan dalam syarikat pengurusan hospitalnya iaitu PT KPJ Medica (KPJM) serta penjualan CAMSB dan 100 peratus pegangan tanah dan bangunan hospital oleh CHMSB dalam PT Al-Aqar Bumi Serpong Damai (AABSD) kepada PTNM untuk jumlah berdasarkan nilai perusahaan sebanyak RM150.2 juta.

Pegawai Pemimpin (OIC) KPJ Healthcare, Norhaizam Mohammad berkata, seperti yang digariskan dalam pelan strategik Kumpulan, KPJ Healthcare akan melupuskan perniagaan Indonesianya sebagai sebahagian daripada usaha rasionalisasi aset.

"Ini menandakan operasi KPJ Healthcare di pasaran Indonesia tamat sepenuhnya sebagai pemilik dan pengendali hospital.

"Kami berharap dapat memanfaatkan hasil daripada penjualan ini untuk mengukuhkan kedudukan kami dalam sektor penjagaan kesihatan.

"Tumpuan kami untuk meningkatkan kecekapan operasi dan mengembangkan perniagaan teras kami di dalam negara, dan ia adalah sejajar dengan objektif ini," katanya.

Menurutnya, pihaknya akan mempergiatkan penerokaan peluang baharu di pasaran lain untuk mengukuhkan pertumbuhan dengan tahun tahun 2023 dan seterusnya, pihaknya yakin akan terus memberikan nilai yang mampan untuk pemegang berkepentingan.

Katanya, SSA ini dijangka dimuktamadkan pada suku kedua 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mac 2023 @ 7:54 AM