Foto hiasan
Foto hiasan

Kuala Lumpur: Maxis menutup tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 dengan mencatatkan pertumbuhan merentasi perniagaan pengguna dan perusahaannya, kekal di landasan dengan strategi konvergennya.

Maxis dalam kenyataan berkata, untung bersih berkurangan kepada RM1.18 bilion disebabkan Cukai Makmur pada tahun 2022

"Bagi fiber kediaman, Syarikat mencapai pertumbuhan dua digit yang memberangsangkan dalam hasil dan kediaman yang dihubungkan selama 14 suku berturut-turut, menjadikan Maxis peruncit fiber kedua terbesar dan pencabar yang kukuh di pasaran.

"Termasuk binaan fibernya sendiri, Syarikat kini mempunyai akses untuk menawarkan perkhidmatan kepada kira-kira tujuh juta premis," katanya dalam kenyataan hari ini.

  Menurutnya, pada 2022, Maxis melabur sebanyak RM1.1 bilion dalam capex, dengan tumpuan untuk menaik taraf dan membina tapak mudah alih baharu untuk pengembangan 4G dan meningkatkan jejak fibernya ke lebih banyak rumah dan perniagaan.

"Sepanjang tahun ini, Maxis terus mengutamakan pengalaman pelanggan dalam persekitaran yang semakin digital.

"Usaha berterusan untuk meningkatkan saluran digital layan diri menyumbang kepada skor NPS yang tertinggi untuk suku keempat, iaitu +68 mata," katanya.

Mengenai 5G, Maxis berkata, pihaknya berharap dapat melancarkan produk dan perkhidmatan berkaitan 5G secara komersial tidak lama lagi.

"Syarikat terus membangunkan kes penggunaan 5G pelbagai industri dengan pemain utama untuk kegunaan komersial melalui 5G Alliance yang semakin berkembang.

"Kami juga memperluaskan perkhidmatan perayauan antarabangsa 5G ke lebih banyak negara dan telah melancarkan pelbagai peranti 5G kepada pelanggan," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Goh Seow Eng berkata, Syarikat tangkas dalam menyesuaikan diri dengan landskap telco yang berubah-ubah.

"Kekuatan kami dalam mudah alih, rangkaian, tawaran konvergen dan jejak gentian yang meluaskan meletakkan kami pada kedudukan kukuh untuk terus maju sebagai penyedia penyelesaian konvergen terkemuka di Malaysia.

"Banyak yang perlu dilakukan tahun ini kerana kami menjangkakan persekitaran yang semakin mencabar dan kompetitif pada masa hadapan," katanya.

Bagi tahun kewangan 2022, Maxis mencatatkan peningkatan hasil kepada RM8.3 bilion, meningkat 4.0 peratus berikutan pertumbuhan dalam semua segmen perniagaan Pengguna dan Perusahaan.

Perniagaan pengguna mencatatkan hasil sebanyak RM6.8 bilion, meningkat 4.8 peratus.

Segmen pascabayar terus menyaksikan pertumbuhan pelanggan yang kukuh, meningkat 6.5 peratus, menjadikan jumlah langganan pascabayar kepada 3.34 juta.

Ia menyumbang kepada hasil sebanyak RM3.2 bilion, meningkat 6.9 peratus.

Bagi segmen prabayar, ia mencatatkan sedikit penurunan sebanyak 2.9 peratus dalam langganan, disebabkan migrasi prabayar kepada pascabayar yang berterusan.

Ia kekal berdaya tahan, dengan pelanggan keseluruhan stabil pada 5.79 juta dan memberikan hasil sebanyak RM2.7 bilion.

Bagi segmen Kesalinghubungan Kediaman, ia merekodkan pertumbuhan hasil dua digit, menyumbang RM843 juta, dengan peningkatan 16.9 peratus.

Walaupun secara aktif menukar Pelanggan Jalur Lebar Tanpa Wayar kepada Fiber, terdapat pertumbuhan keseluruhan, iaitu lebih daripada 78,000 sambungan baharu disebabkan oleh permintaan untuk perkhidmatan konvergen.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2023 @ 4:44 PM