Splash Mania mampu memuatkan 4,000 pengunjung.
Splash Mania mampu memuatkan 4,000 pengunjung.
BERNAMA

Banting: Taman Tema Air Splash Mania berkeluasan 7.28 hektar yang dibina oleh Gamuda Land di Gamuda Cove, di sini akan mula dibuka kepada orang ramai Isnin depan.

Ketua Operasi Taman Tema Air Splash Mania Suresh V Kumaran berkata taman tema air itu menawarkan 39 permainan tarikan termasuk 24 permainan gelongsor, dan ia mampu memuatkan 4,000 pengunjung dalam satu masa.

Beliau berkata antara permainan yang perlu dicuba ialah gelongsor Wild Rush yang menjunam ke dalam kolam sedalam 2.74 meter.

"Selain itu kita ada gelongsor Shaka Waka iaitu gelongsor gelap yang dihiasi lampu warna-warni dan gelongsor Atlantic VR yang memerlukan pengunjung memakai peranti Realiti Maya (VR) sambil menuruni gelongsor dan ia merupakan permainan pertama seumpamanya di Asia Tenggara.

"Semua permainan ini juga mempunyai versi kanak-kanak supaya mereka dapat merasai pengalaman sama seperti orang dewasa," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Suresh berkata taman tema air itu turut dilengkapi dengan laluan sungai sepanjang 400 meter yang memberikan pengalaman berbeza kepada pengunjung selain mempunyai kawasan ombak dan jakuzi.

Beliau berkata tiket-tiket dijual pada harga promosi bermula 6 Februari hingga 31 Mac iaitu RM79 untuk dewasa dan RM63 bagi kanak-kanak.

Katanya selepas tempoh promosi harga tiket akan kembali kepada harga asal iaitu RM125 bagi dewasa, RM95 untuk kanak-kanak, dan percuma untuk kanak-kanak berketinggian 0.9 meter ke bawah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2023 @ 3:44 PM