Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Firdaos Rosli. - FOTO NSTP
Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Firdaos Rosli. - FOTO NSTP

Kuala Lumpur: Malaysia sebenarnya amat memerlukan sistem percukaian seperti GST, tetapi seandainya diperkenalkan semula, kadar yang bersesuaian pula adalah antara dua hingga tiga peratus.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Firdaos Rosli berkata, tiada masa yang sesuai untuk mengembalikan GST terutamanya dengan mengambil kira persekitaran ekonomi ketika ini.

"Langkah mengembalikan semula GST atau menyelaraskan subsidi boleh memberi kesan kepada tekanan inflasi dalam jangka masa sederhana.

"Kami meramalkan inflasi utama akan berlegar pada purata tiga peratus tahun ini berbanding 3.4 peratus tahun lalu berdasarkan andaian bahawa kerajaan akan mengekalkan subsidi semasa bahan api," katanya pada taklimat media Unjuran Ekonomi 2023 Bank Islam di sini, hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan minggu lalu berkata, pengenalan semula GST belum dibincangkan sejak Kerajaan Perpaduan ditubuhkan.

Terdahulu, firma penyelidikan berpandangan tiada cukai baharu, termasuk GST akan diperkenalkan semasa pembentangan semula Belanjawan 2023 pada 24 Februari ini.

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, GST dijangka tidak akan diperkenalkan tahun ini memandangkan keperluan kerajaan adalah menguruskan inflasi berdasarkan jangkaan peralihan subsidi bahan api kepada pendekatan bersasar, dengan beberapa pelarasan dalam harga bahan api tahun depan.

Bank pelaburan itu tidak menolak beberapa 'mesej' dalam Belanjawan 2023 untuk menyediakan pengguna dan perniagaan berkaitan kemungkinan pelaksanaan semula GST tahun hadapan.

Sementara itu, ditanya mengenai subsidi bersasar, Firdoas berkata, kerajaan perlu mencari pendekatan lebih menyeluruh jika mahu melaksanakannya termasuk membabitkan komponen bahan api.

Menyifatkan ia inisiatif sukar, beliau berkata, banyak isu yang perlu ditangani memandangkan pelaksanaan subsidi bersasar itu perlu membabitkan data rakyat yang sebenar supaya ia tidak disalah guna.

"Mekanisme penyaluran amat penting kerana sukar untuk kerajaan mendapatkan data sebenar. Sebagai contoh untuk bahan api, golongan bersasar perlu mengemukakan kad pengenalan untuk mengisi minyak. Ia tidak praktikal kerana perlu ada wakil kerajaan di setiap stesen minyak.

"Jika mekanismenya membabitkan kapasiti (cc) kenderaan, ia juga sukar kerana ada yang memiliki kereta mewah tapi cc rendah, malah ada kereta lama pula dengan cc tinggi.

"Pokoknya, perlu ada pendekatan. Kerajaan perlu memikirkannya supaya ia dapat diagihkan dan dinikmati oleh golongan yang memerlukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 January 2023 @ 5:18 PM