GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Standard Chartered Malaysia menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) kepada 3.00 peratus daripada 2.75 peratus.

Firma penyelidikan itu berkata pertumbuhan kukuh, kadar inflasi yang tinggi dan meluas akan mendorong dasar monetari selanjutnya yang lebih ketat.

"Kami akan memantau penilaian pendirian dasar monetari BNM, yang mungkin dapat memberi bayangan bilakah bank pusat akan menamatkan kitaran langkah mengetatkan dasar ini," katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Standard Chartered berkata pertumbuhan kekal kukuh di Malaysia, dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2022 dijangka mencecah 8.8 peratus.

"Inflasi tinggi dan meluas, mencerminkan inflasi permintaan yang kukuh sejajar dengan kenaikan gaji pembuatan dan perkhidmatan, meskipun gaji perkhidmatan masih berada d bawah pertumbuhan trend jangka sederhana," katanya.

Bagaimanapun, ia berkata risiko inflasi kekal tinggi susulan tekanan inflasi meluas, kenaikan kos perkhidmatan dan harga import yang masih tinggi.

"Berikutan kemungkinan kenaikan pada Januari, kami menjangkakan kenaikan akan terhenti seketika pada Mac, sebelum kenaikan 25 mata asas lagi pada Mei, dengan andaian kerajaan akan mengumumkan beberapa bentuk pelarasan subsidi bagi separuh kedua 2023.

"Sekiranya subsidi dihapuskan bagi hanya 20 peratus daripada pengguna RON95, kami mengunjurkan inflasi keseluruhan akan meningkat hanya 0.9 peratus setiap tahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2023 @ 6:35 PM