Lam Research optimis untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga kerjanya hingga 25 peratus menjelang hujung tahun ini.
Lam Research optimis untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga kerjanya hingga 25 peratus menjelang hujung tahun ini.
Nurul Husna Mahmud


Syarikat global utama membekalkan peralatan dan perkhidmatan fabrikasi wafer inovatif kepada industri semikonduktor, Lam Research International Sdn Bhd (LRI) mengambil inisiatif merapatkan jurang penyertaan golongan wanita dalam industri berkaitan teknikal dan kejuruteraan.

Menurut Pengurus Besar LRI, Soon K Kuek, pihaknya optimis meningkatkan penyertaan wanita sehingga 25 peratus dalam golongan tenaga kerja menjelang penghujung tahun ini.

"Merujuk pencapaian wanita di Malaysia, kebanyakan mereka tiada masalah menempatkan diri di institusi pengajian baik peringkat universiti atau kolej kemahiran dan teknikal, namun berbeza situasi apabila penyertaan mereka dalam lapangan industri.

"Norma industri berkait pembuatan berskala besar dianggarkan wanita hanya mewakili 10 peratus kumpulan tenaga kerja itu.

"Kami mahu mencetuskan fenomena dalam penyertaan tenaga kerja wanita dengan meletakkan sasaran lebih jauh iaitu 30 peratus dalam organisasi LRI," jelasnya dalam satu kenyataan.

Dalam merealisasikan angka berkenaan, Kuek menjelaskan satu budaya kerja iaitu inklusif dan kepelbagaian (I&D) diwujudkan dalam simbiosis tenaga kerja LRI.

"Selain mempromosi ruang kerja yang mesra untuk semua golongan tenaga kerja termasuk wanita, inisiatif untuk membangunkan kompetensi wanita dan polisi kebajikan pekerja turut membantu usaha ke arah I &D.

"Antaranya ialah program latihan dan penempatan tenaga kerja wanita industri termasuklah usaha sama bersama Pusat Perkembangan Kemahiran Pulau Pinang dan menggalakkan penyertaan wanita dalam industri ini dengan menempatkan kain rentang iklan di kawasan aliran trafik tinggi," katanya.

Polisi kebajikan pekerja yang menyokong terhadap inisiatif itu termasuklah pelepasan sehingga 26 minggu bagi cuti bersalin berbayar dan juga faedah fleksibiliti bekerja sama ada secara virtual, di rumah atau di tempat kerja.

Sementara itu, Timbalan Presiden Korporat (Pembuatan) Lam Research Corporation (Lam) Mike Snell, berkata, pihaknya menghargai kepelbagaian dan buah fikiran wujud dalam setiap tenaga kerja yang ada.

"Apabila Lam memperkenalkan polisi kerja ke suatu kawasan baru, kami akan merujuk kepada polisi I&D Global bagi memastikan nilai budaya dan ciri lokaliti terpelihara.

"I&D adalah satu daripada enam strategi menjadi fokus syarikat terutama dalam meneliti polisi, faedah dan program untuk pekerja.

"Penekanan aspek itu penting dalam memastikan nilai teras tenaga kerja bersepadu dengan misi syarikat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 January 2023 @ 5:00 PM