GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Keyakinan majikan semakin meningkat berikutan pertumbuhan kukuh ekonomi Malaysia sebanyak 14.2 peratus pada suku ketiga 2022 (suku kedua 2022:8.9 peratus), justeru, aktiviti pengambilan pekerja pada tahun depan diramalkan lebih tinggi, menurut platform pekerjaan dalam talian JobStreet Malaysia.

Tinjauan terkini syarikat itu mengenai Pampasan dan Manfaat di Malaysia bagi 2022-2023 mendapati, 53 peratus daripada majikan di negara ini menzahirkan "keyakinan tinggi" terhadap pasaran pekerjaan di Malaysia.

Sebanyak 57 peratus lagi menyatakan bahawa pengambilan pekerja kembali pulih seperti tahap sebelum pandemik manakala 23 peratus lagi meramalkan keadaan itu akan terlaksana menjelang Jun 2023, katanya.

Pengarah Urusan JobStreet Malaysia Vic Sithasanan dalam kenyataan berkata lebih satu pertiga daripada syarikat yang ditemui sedang giat mengambil kakitangan.

Tinjauan membabitkan hampir 500 individu yang terlibat dengan proses pengambilan pekerja mendapati sebanyak 88 peratus daripada syarikat giat mengambil pekerja sejak enam bulan lepas.

Pekerjaan yang mendapat permintaan tinggi adalah dalam bidang pentadbiran, sumber manusia, perakaunan, pembangunan jualan/perniagaan, kejuruteraan dan teknologi maklumat.

JobStreet Malaysia berkata keadaan pekerjaan juga telah berubah dengan sekurang-kurangnya 59 peratus daripada syarikat memilih untuk mengekalkan atau meningkatkan jumlah pekerja kontrak/sementara.

Daripada jumlah itu, hanya lapan peratus daripadanya berhasrat mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja ini terutamanya bertujuan menjimatkan kos kakitangan di samping menyedari kesukaran untuk mengambil kakitangan tetap sepenuh masa yang sesuai atau berkelayakan.

"Graduan baharu sewajarnya berasa lega apabila sepanjang tahun lepas, 57 peratus daripada syarikat telah menggajikan graduan baharu manakala 38 peratus mengambil pelatih," kata Vic.

Bagaimanapun, beliau berkata pengalaman kerja yang berkaitan kekal sebagai faktor penting untuk mengambil pekerja apabila 63 peratus daripada syarikat menawarkan pekerjaan kepada calon atas sebab ini manakala 36 peratus lagi menyatakan ia sebagai faktor utama.

Bagi pihak pekerja, sebanyak 80 peratus calon menolak tawaran pekerjaan kerana memilih alternatif lain yang mungkin menawarkan pakej manfaat yang lebih baik. Lebih 70 peratus syarikat menawarkan pekerja dengan bonus prestasi, terjamin atau berkontrak, iaitu bonus median antara satu hingga dua bulan.

Selain itu, lebih 82 peratus syarikat yang terlibat dalam tinjauan ini melaksanakan kenaikan gaji dengan peningkatan median lima hingga 10 peratus manakala 54 peratus telah menaikkan pangkat pekerja secara dalaman, secara umumnya melibatkan kenaikan gaji antara enam hingga 10 peratus.

Selain itu, banyak majikan turut menyediakan manfaat tambahan kepada pekerja antaranya cuti perkahwinan, cuti paterniti, program pembangunan kerjaya serta membayar polisi perubatan dan insurans hayat.

Manfaat utama yang diberikan oleh syarikat bagi menyeimbangkan antara pekerjaan dan kehidupan adalah tempoh lima hari bekerja dalam seminggu (79 peratus), kod pakaian kasual setiap hari (59 peratus) dan cuti awal pada hari perayaan (59 peratus).

"Sementara itu, sebanyak 23 peratus syarikat telah melaksanakan beberapa bentuk pengaturan kerja secara hibrid kepada pekerja.

"Malah, 53 peratus daripada syarikat yang dikaji yakin mereka sekurang-kurangnya berupaya untuk menggalakkan pekerjaan secara jauh, dan 82 peratus syarikat menyediakan bantuan untuk bekerja secara jauh seperti komputer riba serta sokongan untuk mesyuarat secara maya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Disember 2022 @ 1:54 PM