Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan Runcit Bank Islam Malaysia Berhad, Mizan Masram (tiga dari kanan) bersama pemenang hadiah utama pada majlis penyampaian hadiah kempen pembiayaan ASB-i Bank Islam. - FOTO NSTP
Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan Runcit Bank Islam Malaysia Berhad, Mizan Masram (tiga dari kanan) bersama pemenang hadiah utama pada majlis penyampaian hadiah kempen pembiayaan ASB-i Bank Islam. - FOTO NSTP

Kuala Lumpur: Kempen Pembiayaan ASB-i 2022 yang julung kali dianjurkan Bank Islam Malaysia Bhd menyaksikan pertumbuhan ketara sehingga 80 peratus dalam pembiayaan Amanah Saham Bumiputeranya (ASB).

Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan-Runcit Bank Islam, Mizan Masram, berkata sebelum kempen itu dilaksanakan pada tengah Mac lalu, Bank itu mencatatkan RM50.3 juta pembiayaan ASB.

Tetapi katanya, dalam tempoh enam bulan kempen itu dianjurkan dari 15 Mac hingga 15 September lalu, pihaknya berjaya meraih tambahan RM41 juta pembiayaan ASB.

"Ini menjadikan jumlah keseluruhan pembiayaan ASB oleh Bank Islam sebanyak RM91 juta setakat September lalu sejak kami mula menjadi ejen Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) pada Februari 2020.

"Bagi merancakkan lagi sambutan produk ini, kami mengambil inisiatif untuk pertama kalinya menganjurkan Kempen Pembiayaan ASB-i ini dengan hasrat untuk menghargai sokongan dan kepercayaan pelanggan yang memohon pembiayaan ASB-i.

"Kami tawarkan peluang kepada mereka untuk memenangi pelbagai ganjaran yang menarik berupa hadiah wang tunai terkumpul RM170,000," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian hadiah kepada 17 pemenang utama kempen berkenaan di sini, hari ini. Tiga pemenang membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM20,000 setiap seorang; hadiah pertama RM10,000 untuk empat pemenang; hadiah kedua (RM5,000 untuk lima pemenang) dan hadiah ketiga sebanyak RM3,000 kepada lima pemenang.

Pelanggan yang memohon amaun pembiayaan bawah RM30,000 layak untuk satu penyertaan manakala amaun pembiayaan RM30,000 dan ke atas layak untuk lima penyertaan. Selain itu, pelanggan juga layak mendapat tambahan lima penyertaan apabila mereka melanggan mana-mana produk takaful.

Kempen ini mengguna pakai kaedah sistem cabutan yang telus di mana pemenang dipilih secara rawak berdasarkan jumlah unit kelayakan mereka yang diterima. Mengulas lanjut Mizan berkata, Bank Islam akan meneruskan kempen Pembiayaan ASB-i pada tahun hadapan dengan ganjaran yang lebih menarik dan pengumuman mengenainya akan dibuat dalam masa terdekat.

"Kami amat berbesar hati kerana pelanggan memilih Bank Islam sebagai penyedia pembiayaan ASB mereka.

"Bank Islam juga akan terus menyediakan produk dan perkhidmatan yang memenuhi keperluan pelanggan dan pada masa yang sama terus memperkukuhkan lagi mutu perkhidmatan demi meningkatkan pengalaman pelanggan bersama kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2022 @ 6:48 PM