GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Ancaman kesihatan dan keselamatan daripada pandemik Covid-19 kekal menjadi kebimbangan utama bagi hampir dua pertiga pengembara korporat Malaysia apabila perjalanan untuk perniagaan kembali seperti biasa, menurut satu tinjauan baharu oleh SAP Concur.

Walaupun momentum perjalanan untuk perniagaan kembali stabil, hakikatnya kesan krisis kesihatan yang belum pernah berlaku sebelum ini masih dapat dirasai, terutamanya di Malaysia.

"Kesihatan dan keselamatan kekal sebagai kebimbangan utama bagi 72 peratus pengembara perniagaan Malaysia berbanding 63 peratus di Asia Pasifik (APAC), diikuti bajet perjalanan yang berkurangan (48 peratus) dan ketidakpastian mengenai perubahan dasar perjalanan perniagaan (43 peratus )," kata penyedia penyelesaian pengurusan perjalanan, perbelanjaan dan invois bersepadu itu dalam kenyataan hari ini.

Tinjauan itu melibatkan 100 pengembara korporat di Malaysia, bersama-sama dengan 950 daripada pasaran APAC di China, Taiwan, Jepun, Singapura, Korea Selatan, India, Australia dan New Zealand.

Ia mendedahkan bahawa pengembara perniagaan Malaysia terus mengharapkan aturan yang fleksibel dalam memilih mod penginapan pilihan mereka (58 peratus) dan perjalanan (51 peratus) untuk melindungi kesihatan dan keselamatan mereka semasa dalam perjalanan.

Tinjauan itu juga mendapati bahawa mempunyai lebih kawalan ke atas jadual perjalanan mereka dianggap penting untuk kesejahteraan pengembara perniagaan Malaysia, kerana 61 peratus menjangkakan syarikat mereka membenarkan mereka memutuskan berapa lama perjalanan mereka dibandingkan dengan 43 peratus dalam APAC.

Sementara itu, 61 peratus daripada responden Malaysia juga menganggap penting untuk mempunyai keupayaan bagi menempah perjalanan mereka secara terus melalui laman sesawang pembekal untuk melindungi kesihatan dan keselamatan mereka dan 48 peratus menjangkakan mereka dapat menukar rancangan perjalanan tanpa sebarang kesulitan.

Pengarah Urusan SAP Concur Asia Tenggara, Dr Carl Jones berkata satu perkara yang menarik apabila pekerja di rantau ini nampaknya lebih mengambil berat tentang kesihatan dan keselamatan berbanding pasaran lain di dunia.

Beliau menyatakan bahawa organisasi yang belum melaksanakan dasar dan teknologi perjalanan untuk melindungi kesihatan dan keselamatan pekerja, atau memastikan fleksibiliti perjalanan, perlu mengambil tindakan yang sewajarnya tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Disember 2022 @ 3:41 PM